UUM sertai pelancaran ASEAN Year of Skills (AYOS) 2025
KUALA LUMPUR, 17 April 2025: Malaysia secara rasmi melancarkan The ASEAN Year of Skills (AYOS) 2025 iaitu inisiatif pembangunan modal insan sepanjang tahun di bawah Pengerusi ASEAN oleh Malaysia.
Program tersebut dilancarkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), Datuk Azman Mohd Yusof dan disaksikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp), Datuk Abu Huraira Abu Yazid.
Turut memberikan ucapan aluan pada sesi pelancaran tersebut Ketua Pegawai Eksekutif HRD Corp Datuk Shahul Hameed Dawood.
Pengarah Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC), Prof. Dr. Chandrakantan Subramaniam mewakili Universiti Utara Malaysia (UUM) telah dijemput bagi menyertai pelancaran tersebut.
ASEAN Year of Skills (AYOS) 2025 memfokuskan pada meningkatkan kemahiran tenaga kerja dan pembangunan bakat serantau melalui kerjasama antara negara anggota ASEAN.
Objektif Utama AYOS 2025 adalah meningkatkan daya saing dan daya tahan tenaga kerja ASEAN untuk memenuhi permintaan pasaran global, mengutamakan pembinaan kapasiti dalam bidang seperti Kepintaran Buatan (AI), teknologi semikonduktor serta Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dalam menyediakan tenaga kerja menghadapi cabaran masa depan.
Selain itu, meningkatkan mobiliti buruh dan pengiktirafan bersama kemahiran di seluruh negara anggota ASEAN untuk memudahkan pasaran buruh serantau yang lebih bersepadu dan menangani jurang serantau dan memastikan peluang saksama untuk semua, termasuk usaha untuk memformalkan sektor tidak formal, mengurangkan pengangguran belia, dan merapatkan jurang jantina.
Penyertaan UUM dalam AYOS 2025 sejajar dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun tersebut, yang menekankan pembangunan tenaga kerja serantau melalui peningkatan kemahiran dalam bidang seperti teknologi maklumat, kecerdasan buatan, dan teknologi semikonduktor.
ASEAN Year of Skills (AYOS) 2025, merupakan inisiatif serantau yang bertujuan memperkukuh pembangunan kemahiran termasuk mobiliti pelajar di seluruh Asia Tenggara.
Dengan penglibatan aktif dalam AYOS 2025, UUM memperkukuh kedudukannya sebagai institusi pendidikan tinggi yang komited dalam memajukan pembangunan modal insan. – Siti Nazirah Jaya