Campus

Pusat Alumni UUM realisasikan harat alumni bertemu bekas pensyarah dan rakan kampus

Gambar Pusat Alumni

SINTOK, 21 April 2025: Pusat Alumni Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Mini Reunion Alumni Batch 1994 yang berlangsung di Manager’s Coffee, UUM.

Pengarah Pusat Alumni, Prof. Madya Dr. Lily Julienti Abu Bakar berkata, program ini bertujuan mengeratkan kembali hubungan silaturahim dalam kalangan alumni serta membina semula jaringan kerjasama dengan pihak universiti.

Pertemuan semula itu disertai seramai 10 alumni dan ianya merupakan cetusan idea Zahran Tasliman, Ketua Tadbir Urus dan Pematuhan di Perbadanan PR1MA Malaysia, yang juga merupakan alumni Program Sarjana Muda Perakaunan dengan Kepujian (1994).

Dr. Lily berkata, reunion ini turut menjadi ruang penuh nostalgia buat para alumni untuk berkongsi pengalaman dan perkembangan kerjaya masing-masing setelah hampir tiga dekad meninggalkan alam kampus.

“Kehadiran dua orang pensyarah yang pernah mendidik alumni-alumni ini turut menyerikan majlis, sekali gus mencetuskan kenangan indah sewaktu zaman pengajian mereka di kampus.

“Keterlibatan aktif alumni dalam pelbagai bentuk sokongan sama ada idea, kepakaran atau jaringan industri—amat bermakna buat pembangunan universiti dan pelajar masa kini,” katanya yang menekankan kepentingan peranan alumni dalam membina ekosistem universiti yang inklusif dan berdaya saing.

Selain sesi ramah mesra, program ini turut menjadi medan perbincangan awal terhadap inisiatif alumni dalam menyumbang semula kepada universiti, termasuk dalam bentuk penajaan program, bimbingan kerjaya, dan kolaborasi akademik-industri.

Pusat Alumni UUM berharap agar hubungan erat yang terjalin dalam mini reunion ini dapat diteruskan dan diperluas ke peringkat yang lebih strategik demi manfaat bersama antara alumni dan universiti. – Fatin Najwana Ahmad Tarmizi (Pelajar Praktikal)

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button