Campus

Naib Canselor ajak warga UUM kukuhkan silaturahim

Gambar Mohd Fuad Hamid

SINTOK, 22 April 2025: Lebih 5,000 warga Universiti Utara Malaysia (UUM) memeriahkan Majlis Silaturahim Aidilfitri 1446H/2025M bagi meraikan hari kemenangan umat Islam setelah sebulan berpuasa menahan lapar dan dahaga.

Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, Aidilfitri bukan sekadar perayaan, tetapi juga lambang kemenangan iman dan jiwa selepas sebulan menempuh latihan rohani di bulan Ramadan.

Menurutnya, ianya menjadi titik pertemuan antara kesabaran dan keinsafan, antara keampunan dan kesyukuran.

Katanya, dalam suasana Aidilfitri ini, beliau mengajak agar semua orang terus bersatu hati, berganding tenaga dan memperkukuhkan tekad untuk melonjakkan lagi nama UUM di persada antarabangsa.

“Semangat silaturahim ini adalah asas kepada kekuatan organisasi. Tanpa kasih sayang dan kepercayaan antara satu sama lain, sukar untuk kita mencipta kejayaan demi kejayaan.

“Ini dibuktikan dengan kejayaan UUM mencipta kecemerlangan dalam dunia pendidikan tinggi apabila mencatatkan Kadar Kebolehpasaran Graduan (Graduate Marketability, GM) yang luar biasa tinggi iaitu sebanyak 96.6 peratus pada 2024, menurut data rasmi terkini oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT),” katanya di Dataran Perdana, hari ini.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UUM, Mohamad Amar Aidid Mohd Zain berkata, Hari Raya Aidilfitri bukan sekadar sebuah sambutan tradisi, tetapi ia adalah lambang perpaduan yang utuh, kasih sayang yang mendalam, dan muhibah yang terjalin erat antara kita, tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.

Menurutnya, dia berharap agar jalinan silaturahim yang terjalin pada hari ini akan terus berkekalan dan hubungan sesama kita akan semakin diperkukuh.

Katanya, semoga UUM akan terus menjadi rumah kedua yang penuh dengan kasih sayang dan keharmonian bagi semua.

Pada masa sama, Amar Aidid turut mengajak semua warga UUM untuk mengirimkan bacaan doa dan Al-Fatihah buat Allahyarhamah Manarina Hasya Muhamad Karim yang nahas dalam kemalangan pagi Sabtu lalu.

Majlis diteruskan dengan Dr. Mohd Foad melawat ke setiap khemah yang menyajikan pelbagai menu dan diakhir majlis, sebanyak 10 gerai terbaik menerima hadiah yang disampaikan beliau, antaranya gerai UUMIT, HEA/CAEPS dan Pemasaran, CeTMA, Jabatan Bendahari, Jabatan Keselamatan, Perpustakaan Sultanah Bahiyah, SCIMPA, UTLC, RMC dan JSM.

Hadir sama, Timbalan-timbalan Naib Canselor; Pendaftar, Ahmad Rasidi Abdullah dan Pengarah Program, Amir Fakhri Abdullah.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button