CEDI dan Arisprop Capital Berhad rangka Program Latihan Usahawan Siswa, fokus berniaga Aris Burger
Gambar CEDI
SINTOK, 23 April 2025: Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI), Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Arisprop Capital Berhad (ACB) akan melaksanakan program pembangunan usahawan siswa melalui inisiatif perniagaan Aris Burger yang dijangkakan bermula pada Mei 2025.
Satu sesi perbincangan telah diadakan bersama wakil-wakil pusat tanggungjawab (PTJ) berkaitan, termasuk Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP), Pusat Pembangunan Keusahawanan Siswa (PPKS), Pusat Penginapan Pelajar (SAC), serta Pengetua Inapan Siswa (INASIS), bagi memastikan kelancaran pelaksanaan program keusahawanan ini.
Dalam sesi tersebut, Pengarah Urusan Arisprop Capital Berhad (ACB), Dato’ Haris Embong telah membentangkan model perniagaan yang bakal menjadi platform latihan serta pengalaman sebenar kepada mahasiswa UUM yang ingin menceburi bidang perniagaan makanan dan peruncitan.
Menurutnya, inisiatif ini bukan sahaja memberikan peluang kepada siswa untuk mengendalikan perniagaan sebenar, malah turut membangunkan kemahiran keusahawanan mereka secara holistik.
Pengarah CEDI, Prof. Madya Dr. Shazida Jan Mohd Khan berkata, kerjasama ini berpotensi besar dalam memperkasa ekosistem keusahawanan di kampus serta melahirkan graduan yang lebih bersedia untuk menceburi dunia perniagaan selepas tamat pengajian.
“Selain itu, ACB juga menyatakan komitmen mereka dalam menyediakan bimbingan, latihan praktikal, serta sokongan modal bagi memastikan kejayaan program ini,” katanya.
Sesi ini diakhiri dengan perbincangan lanjut mengenai mekanisme pelaksanaan serta langkah strategik bagi memastikan program ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh para mahasiswa UUM. Dengan jalinan kerjasama yang erat antara sektor industri dan akademia, program ini dijangka memberi impak positif kepada pembangunan usahawan muda di Malaysia.
CEDI juga telah memulakan gerak kerja awal bersama pihak UUM Properties Sdn. Bhd. (UPSB) pada 22 April, khususnya dalam konteks pembersihan ruang fasiliti CEDI yang akan dijadikan stor barangan beku ACB. Stor ini akan berperanan sebagai pusat penyimpanan stok untuk kesemua kiosk burger yang bakal beroperasi di bawah program ini. – Akmal Ahlami Md Rozai