UUM terima Anugerah Employers’ Choice Award 2025 oleh TalentBank
Gambar PPKKG
KUALA LUMPUR, 24 April 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menerima Anugerah Employers’ Choice Award anjuran Talentbank sempena sambutan ulang tahun ke-15 organisasi tersebut yang diraikan bersama Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri bertempat di EQ Kuala Lumpur, Selasa lalu.
Penganjuran majlis ini adalah kerjasama pihak Kementerian Pendidikan Tinggi dengan penglibatan Majlis Kebolehpasaran Graduan Universiti Awam (MyGRAD) dan National Career Development Centre Association (NACDA) dengan melibatkan semua universiti awam dan universiti swasta serta industri dari pelbagai bidang.
Majlis ini telah diadakan untuk memberikan pengiktirafan dan penghargaan kepada universiti-universiti awam dan swasta yang telah berjaya melahirkan graduan yang berkebolehan serta mendapat permintaan tinggi oleh majikan berdasarkan tinjauan yang telah dijalankan dengan majikan-majikan siswazah yang terkemuka.
Dalam majlis ini, Pengarah Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG), Dr. Fikriyah Abdullah, telah mewakili UUM menerima anugerah Employers’ Choice Award 2025 yang telah disampaikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud.
UUM telah mencapai penarafan cemerlang 6 bintang bagi program Perakaunan, Pengiklanan, Perbankan, Pengurusan Perniagaan, Komunikasi dan Penyiaran, Kaunseling, Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Ekonomi, Keusahawanan, Kewangan, Pengurusan Hospitaliti, Pengurusan Sumber Manusia, Undang-undang, Logistik, Pemasaran, Kesihatan Keselamatan Pekerjaan, Perhubungan Awam dan Pelancongan.
Turut hadir ke majlis tersebut, Pengarah Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC), Prof. Dr. Chandrakantan Subramaniam. – Anis Zulaikha Kamal