Campus

YSD sokong usaha penyelidikan beri impak kepada masyarakat dan sistem pendidikan negara

Gambar Penyelidik YSD-KOMPaS

SINTOK, 24 April 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) menerima kunjungan audit dari Yayasan Sime Darby (YSD) bagi menilai pelaksanaan projek penyelidikan bertajuk “Early Detection, Communication Models and ICT-Based Support to Ease Interventions in Mitigating Dropouts Among At-Risk Students”.

Audit ini menilai aspek teknikal, pelaporan penyelidikan serta pematuhan kewangan projek. Pembentangan diketuai oleh penyelidik utama, Prof. Dr. Norhafezah Yusof dari Pusat Pengajian Pendidikan (SoE), yang turut menyentuh hasil dan impak intervensi terhadap pelajar berisiko tercicir di kawasan Kubang Pasu, Baling dan Langkawi.

Eksekutif Kanan Kewangan dan Pentadbiran YSD, Nurul Shakirin Zulkefly berkata, pihak yayasan berbangga menyokong usaha penyelidikan yang memberi impak langsung kepada masyarakat dan sistem pendidikan negara.

“Projek ini bukan sahaja menyumbang kepada ilmu, malah memperkasa pendidikan inklusif yang mampan,” katanya dalam sesi penutup audit di Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC).

Sementara Dr. Norhafezah turut menekankan pentingnya pendekatan bersepadu iaitu gabungan pengesanan awal, komunikasi strategik dan penggunaan teknologi ICT dalam mengurangkan kadar keciciran pelajar.

Sesi audit ini turut disertai oleh Prof. Madya Dr. Nor Idayu Mahat (Pengarah RMC), Prof. Madya Noraziah Che Pa (Pusat Pengajian Pengkomputeran), Prof. Dr. Rosna Awang Hashim (Pusat Pengajian Pendidikan) serta pasukan penyelidik dan staf RMC dan Jabatan Bendahari.

Projek ini melibatkan tiga kumpulan penyelidikan yang menumpukan pembangunan model pengesanan awal, modul komunikasi berkesan, dan aplikasi ICT bagi membantu pelajar sekolah menengah yang berisiko tercicir daripada sistem pendidikan. – Amera Hanna Mohd Tajuddin

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button