Penerima Anugerah Dekan SOL perlu kuasai kemahiran insaniah lengkapi mahasiswa holistik
Gambar Ahmad Termizi Othman
SINTOK, 24 April 2025: Pusat Pengajian Undang-Undang (SOL) telah mengadakan Majlis Anugerah Dekan Pusat Pengajian Undang-undang (SoL) Semester 1, Sesi 2024/2025 (A241) di Kompleks Konvensyen, Selasa lalu.
Majlis ini dirasmikan oleh Penolong Naib Canselor UUM COLGIS merangkap Dekan Pusat Pengajian Undang-Undang, Prof. Dr. Harlida Abdul Wahab, dan dihadiri semua penjawat, pensyarah, staf pentadbiran serta pelajar SOL.
Dr. Harlida berkata, mahasiswa bukan sahaja perlu cemerlang dalam akademik, namun sangat penting dapat menguasai kemahiran insaniah seperti komunikasi, penyelesaian masalah dan sebagainya bagi membentuk kualiti peribadi yang holistik.
Majlis Anugerah Dekan ini diadakan bertujuan sebagai penghargaan kepada pelajar yang memperolehi purata nilai gred kumulatif (PNGK) 3.67 dan ke atas.
Dr. Harlida turut berkongsi perkhabaran gembira di mana subjek Undang-Undang di UUM buat pertama kalinya mencipta sejarah apabila disenaraikan dalam Times Higher Education (THE) World University Rankings by Subjects 2025 dengan kedudukan 176-200.
Seramai 141 penerima anugerah diraikan pada majlis kali ini, di mana 87 pelajar Sarjana Muda Undang-Undang Dengan Kepujian (LLB.) dan 54 pelajar Sarjana Muda Falsafah, Undang-Undang dan Perniagaan Dengan Kepujian (BPLB.)
Majlis ini berakhir dengan sesi bergambar dan diharapkan dapat mencipta kenangan manis kepada semua penerima anugerah. – Zul Rusydi Hussin