Campus

14 felo CEDI dirai dalam Sesi Sumbang Saran Penyelidikan dan Latihan Keusahawanan

Gambar CEDI

SINTOK, 27 April 2025: Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Sesi Sumbang Saran Program Keusahawanan dan Penyerahan Watikah Pelantikan Felo CEDI Tahun 2025 bertempat di Bilik Mesyuarat Utama CEDI, baru-baru ini.

Majlis itu telah menghimpunkan felo penyelidik dan felo bersekutu yang dilantik, selain turut dihadiri oleh warga CEDI dan wakil-wakil dari pusat pengajian UUM.

Seramai 14 felo CEDI telah menerima watikah pelantikan rasmi dalam majlis ini di mana mereka terdiri daripada tenaga akademik UUM yang bakal memainkan peranan penting dalam memperkasa penyelidikan dan pembangunan dalam bidang keusahawanan dan koperasi.

Pengarah Eksekutif CEDI, Prof. Madya Dr. Shazida Jan Mohd Khan berkata, penganjuran sesi ini bukan sahaja meraikan pelantikan felo, malah berperanan sebagai platform strategik bagi sesi sumbang saran dan perbincangan berkaitan pelaksanaan program-program yang akan diterajui bersama.

Menurutnya, sesi ini turut menyaksikan perbincangan awal mengenai beberapa inisiatif perundingan dan latihan yang dirancang untuk dilaksanakan sepanjang tahun 2025, sejajar dengan keperluan semasa industri dan komuniti.

“Saya berharap agar pelantikan ini menjadi pemangkin kepada pengukuhan ekosistem penyelidikan keusahawanan dan koperasi di UUM. CEDI sentiasa mendukung aspirasi UUM untuk menjadikan penyelidikan sebagai pemacu utama pembangunan ilmu dan inovasi.

“Pelantikan felo ini bukan sekadar pengiktirafan kepada kepakaran yang dimiliki, malah ia mencerminkan komitmen institusi untuk memperkukuh jaringan kolaborasi rentas pusat pengajian dan memperkasa impak penyelidikan ke peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata, penglibatan felo secara aktif dalam program-program CEDI akan memperluas peluang kerjasama, mempelbagaikan penerbitan ilmiah serta mempertingkat keberkesanan aktiviti pemindahan ilmu kepada masyarakat.

Majlis diakhiri dengan sesi bergambar serta jamuan ringan, sekali gus menandakan bermulanya sinergi baharu antara para felo dan institusi dalam merealisasikan agenda pembangunan keusahawanan dan koperasi negara. – Akmal Ahlami Md Rozai

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button