Kursus Bina Pasukan dan Organisasi tingkatkan kesepaduan SAC dan Inasis
Gambar SAC
SIK, 28 April 2025: Kursus Bina Pasukan Dan Organisasi Pusat Penginapan Pelajar (SAC) dan Inapan Siswa (Inasis) telah diadakan selama tiga hari pada 23 hingga 25 April lalu di Bendang Man Resort.
Kursus ini telah disertai oleh 44 peserta yang terdiri daripada Pembantu Khidmat Am dan Pembantu Tadbir (teknikal) dari SAC dan Inasis.
Pengarah SAC, Ahmad Mujahid Abd. Ghani berkata, program ini telah mengadakan pelbagai aktiviti menarik dan mencabar yang bertujuan memperkukuh semangat kerja berpasukan serta meningkatkan kecekapan komunikasi dalam organisasi.
Hari pertama dimulakan dengan Explorace Vibe Starter, satu aktiviti yang menguji ketangkasan serta kepintaran peserta dalam menyelesaikan tugasan yang diberikan.
Selain itu, sesi tazkirah Madani turut diadakan yang disampaikan Ahmad Mujahid sendiri di mana beliau berpesan kepada peserta agar sentiasa berdoa, bukan sahaja untuk diri sendiri, tetapi juga untuk sahabat seperjuangan, agar dapat melahirkan satu pasukan dan organisasi yang kukuh serta berjaya dunia dan akhirat.
Hari kedua menyaksikan pelbagai aktiviti lasak seperti flying fox, kayak, dan combat archery, yang menuntut daya ketahanan fizikal dan semangat kerja berpasukan yang tinggi.
Pada penghujung program, peserta turut mengambil bahagian dalam black box, satu sesi masakan antara kumpulan. Setiap kumpulan diberikan bahan asas seperti nasi impit, kuah kacang, roti, dan mi segera, untuk mencipta hidangan unik dengan sentuhan kreatif masing-masing. Dengan hanya masa yang terhad, peserta berusaha mencipta sesuatu yang tidak hanya enak, tetapi juga menarik dari segi penyampaian dan idea.
Program ini diakhiri dengan penyampaian hadiah untuk mengiktiraf kumpulan peserta yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam aktiviti-aktiviti yang dijalankan.
Dengan kejayaan penganjuran kursus ini, SAC dan Inasis terus komited dalam membangunkan pasukan kerja yang lebih efisien dan harmoni, sejajar dengan matlamat organisasi untuk mencapai kecemerlangan dalam perkhidmatan. – Syazwani Abdul Rahman