Menjejak realiti industri halal bersama DXN Holdings
Berita dan gambar Dr. Hawwa Abdul Mokti
JITRA, 4 Mei 2025: Seramai 54 pelajar Program Sarjana Muda Pengurusan Halal (BHalal), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan lawatan industri ke Syarikat DXN Holdings Berhad yang terletak di Jitra.
Lawatan yang diketuai Pengerusi Program BHalal, Dr. Hawwa Abdul Mokti, telah disambut mesra oleh kakitangan DXN sebelum dimulakan dengan sesi pengenalan syarikat serta taklimat keselamatan. Seterusnya, pelajar diberikan penerangan mendalam mengenai pelaksanaan polisi halal syarikat oleh Eksekutif Halal, Muhammad Hafizuddin Jamil dan dibantu oleh Eksekutif Kanan Halal, Khairul Muna Abu Bakar.
Penerangan ini memberi gambaran jelas tentang peranan dan komitmen DXN dalam memastikan pematuhan terhadap standard halal yang ditetapkan.
Lawatan diteruskan ke kawasan penghasilan spirulina, di mana pelajar berpeluang mengetahui proses pengeluaran spirulina dan mencuba produk tersebut dalam pelbagai bentuk seperti serbuk, kapsul dan tablet.
Mereka juga dibawa meninjau kolam ternakan spirulina yang menjadi asas kepada penghasilan produk tersebut. Seterusnya, pelajar mengunjungi kawasan penghasilan cendawan Ganoderma dan cendawan Tiram. Di sini, pelajar didedahkan dengan keseluruhan proses penghasilan cendawan serta berpeluang melihat secara dekat cendawan yang digunakan.
Kedua-dua bahan utama ini Ganoderma dan Spirulina merupakan komponen asas dalam pelbagai rangkaian produk keluaran DXN, termasuk produk minuman, kosmetik dan farmaseutikal. Kebanyakan produk syarikat ini dirumus dengan gabungan kedua-dua bahan tersebut, menjadikannya antara identiti utama dalam formulasi produk DXN.
Lawatan kemudian beralih ke bahagian pembungkusan produk pelbagai minuman. Pelajar dapat melihat sendiri bagaimana proses pembungkusan dijalankan dengan penuh teliti, mematuhi prosedur dan piawaian halal yang telah digariskan oleh pihak JAKIM. Pengalaman ini membuka ruang kepada pelajar untuk memahami secara praktikal bagaimana aspek halal diuruskan dalam industri sebenar.
Secara keseluruhan, Dr. Hawwa berkata, lawatan ini telah memberikan pengalaman yang sangat bermakna kepada pelajar dalam memahami pelaksanaan halal dalam persekitaran industri sebenar. Ia bukan sahaja memperkukuh ilmu teori yang dipelajari di dalam kelas, tetapi juga menggalakkan pelajar mengaplikasikan pengetahuan tersebut dalam konteks praktikal.
Program sebegini diharapkan dapat diteruskan dan diperluaskan pada masa akan datang sebagai salah satu usaha memperkasakan pemahaman dan kesedaran pelajar terhadap standard halal Malaysia.