Campus

Bengkel Pengurusan Risiko perkukuh kompetensi pegawai risiko UUM

Berita dan gambar Muhammad Haniff Umar

SINTOK, 5 Mei 2025: Bahagian Pengurusan Risiko Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Bengkel Pengurusan Risiko selama empat hari, bermula 27 hingga 30 April lalu, khusus untuk pegawai risiko universiti.

Bengkel ini dikendalikan oleh Pengurus Risiko dan Kesinambungan Perkhidmatan UUM, Dr. Zairol Azhar Auzzir, yang berkongsi kepakaran dalam mengenal pasti, menilai, dan mengurus risiko secara sistematik.

Program ini bertujuan untuk meningkatkan kefahaman serta kemahiran peserta dalam pengurusan risiko yang sejajar dengan keperluan tadbir urus mampan di institusi pendidikan tinggi.

Sepanjang bengkel, pegawai risiko diminta untuk membentangkan daftar risiko jabatan masing-masing yang telah diperincikan dalam mesyuarat Jawatankuasa Risiko PTJ sebelum ini.

Pembentangan ini membolehkan peserta berkongsi cabaran serta strategi mitigasi yang digunakan di jabatan mereka, sekali gus memperkukuh kefahaman terhadap pendekatan pengurusan risiko yang lebih efektif.

Pegawai Risiko SEFB UUM, Mohd Khairy Mukhtarudin berkata, sesi pembentangan ini amat berguna dalam memberikan perspektif baharu mengenai amalan terbaik pengurusan risiko, terutama dalam mengenal pasti keutamaan risiko di peringkat jabatan.

Sementara itu, Pegawai Risiko UUMIT, Mohd Ilyas Soffian turut menyatakan bahawa perbincangan dan maklum balas daripada peserta lain membantu dalam memperhalusi kaedah penilaian risiko bagi memastikan keberkesanan strategi mitigasi yang diterapkan.

Bengkel ini turut memberikan kesan positif kepada peserta dengan meningkatkan keyakinan mereka dalam mengendalikan risiko secara lebih efisyen. Pegawai kini lebih bersedia untuk menganalisis risiko secara menyeluruh dan mengemukakan cadangan penyelesaian yang lebih berkesan, selaras dengan matlamat strategik universiti.

Dengan penganjuran bengkel ini, Bahagian Pengurusan Risiko UUM berharap agar pegawai risiko dapat memainkan peranan yang lebih proaktif dan strategik dalam menyokong objektif universiti serta memastikan kelangsungan pengurusan risiko yang efektif.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button