CUIC intai peluang kerjasama akademik dan industri automotif terkemuka negara
Gambar CUIC
SHAH ALAM, 5 Mei 2025: Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan lawatan ke ibu pejabat UMW Toyota Motor Sdn. Bhd. bagi membuka lembaran baharu ke arah kerjasama strategik antara institusi akademik dan industri automotif terkemuka negara.
Delegasi CUIC yang diketuai Pengarahnya, Prof. Dr. Chandrakantan Subramaniam disambut oleh pengurusan UMW Toyota Motor iaitu Pengarah Kumpulan Sumber Manusia dan Strategi Korporat, Rich Fozi; Ketua Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, David Lim C.M, dan Pengurus Bahagian Latihan dan Pembangunan Organisasi, Joel Dionysius.
Dr. Chandrakantan berkata, antara perkara utama yang dibincangkan ialah cadangan program pembangunan staf UMW Toyota, di mana pihak syarikat menyatakan minat untuk menghantar kakitangan mereka mengikuti pengajian di peringkat ijazah dan pascasiswazah di UUM.
Menurutnya, usaha ini bertujuan meningkatkan kompetensi dan kelayakan akademik warga kerja mereka, sejajar dengan tuntutan industri yang semakin mencabar.
Selain itu, UMW Toyota turut bersetuju untuk melibatkan pakar industri sebagai penasihat industri di UUM, bagi memperkukuh jaringan industri serta memperkasa kurikulum agar lebih bersifat praktikal dan selari dengan kehendak pasaran kerja.
Turut dibincangkan kerjasama dalam bentuk latihan industri untuk pelajar UUM, termasuk potensi penglibatan UMW Toyota dalam program School of Hard Knocks (SOHK) yang dikendalikan oleh Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG) bagi memberi pendedahan awal kepada pelajar dan latihan awal tentang realiti dunia pekerjaan.
Dr. Chandrakantan berkata, kedua-dua pihak turut bersetuju untuk memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama sebagai langkah awal membina hubungan kerjasama yang mampan dalam pelbagai bidang.
“Inisiatif ini dijangka memanfaatkan kedua-dua pihak dari segi pembangunan modal insan, penyelidikan serta pertukaran pengetahuan.
“Tambahan pula, UUM dan UMW Toyota turut melihat ruang yang besar dalam menjalin kerjasama penyelidikan dan perundingan, terutamanya dalam bidang pengurusan, teknologi automotif dan inovasi perindustrian,” katanya.
Lawatan ini membuktikan komitmen UUM dalam memperkukuh hubungan dengan pemain industri utama negara, sekaligus memastikan para pelajarnya bersedia menempuh cabaran dunia sebenar melalui jaringan kerjasama yang signifikan dan berimpak tinggi.
Turut serta, Timbalan Pengarah Bahagian Hubungan Industri, CUIC, Prof Madya Dr. Normalisa Md Isa, dan Penyelaras Latihan Industri CAS, Dr. Nuramalina Mohamad Na’in. – Siti Nazirah Jaya