UUM, FICT luaskan peluang kerjasama menerusi pemeteraian MoU
Gambar Hairul Nizam Zahari dan Muhammad Shamsul Shafie
SINTOK, 6 Mei 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) dan Federation of Islamic Cooperative Thailand (FICT) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang berlangsung di EDC UUM.
UUM diwakili Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan dan FICT oleh Pengerusinya, Akim Abdullah menandatangani memorandum tersebut.
Dr. Mohd Foad berkata, kerjasama ini membuka ruang perkongsian ilmu, pengalaman dan kepakaran yang lebih luas, sejajar dengan aspirasi UUM untuk kekal sebagai universiti bertaraf dunia dalam bidang pengurusan.
Menurutnya, UUM dan FICT bukanlah baharu saling mengenali. Malah, kerjasama telah bermula lebih satu dekad yang lalu melalui pelbagai bentuk perkongsian ilmu dan kemahiran, termasuklah penghantaran wakil UUM untuk memberikan latihan serta sokongan teknikal kepada koperasi-koperasi Islam di Thailand.
Katanya, MoU ini akan mengukuhkan lagi hubungan sedia ada yang menandakan satu langkah rasmi untuk memperdalamkan kerjasama, memperluaskan peluang dan memperkukuhkan kepercayaan antara dua institusi.
“MoU ini juga menjadi perintis ke arah kerjasama strategik antara UUM dan pihak industri yang bersifat menang-menang di mana pelajar akan memperoleh ilmu dan pengalaman sebenar berkaitan industri yang diceburi, manakala pihak industri berpeluang membina jaringan dengan UUM.
“Saya yakin banyak ruang baharu yang boleh diterokai bersama, khususnya dalam bidang kewangan Islam, koperasi, halal dan keusahawanan,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Russayani Ismail di EDC UUM, pagi ini.
Dr. Russayani yang mewakili UUM bertukar dokumen MoU dengan Pengerusi FICT, Akim disaksikan Dekan IBS, Prof. Madya Dr. Selamah Maamor dan Penasihat FICT, Abdul Rasheed.
Sementara itu, Pengerusi FICT, Akim berkata, pemeteraian MoU ini merupakan satu penghormatan kepada FICT untuk menjalinkan kerjasama dengan UUM.
Menurutnya, MoU ini adalah satu titik tolak untuk mengukuhkan jaringan pendidikan, penyelidikan dan pembangunan modal insan antara dua institusi di dua negara iaitu Malaysia dan Thailand.
Katanya, beliau yakin ianya akan membuka lebih banyak peluang dalam bidang keilmuan, penyelidikan Islam dan latihan khususnya di Thailand.
“FICT menghargai usaha diberikan UUM terutama sekali IBS dalam membina hubungan baik antara dua institusi.
“Saya berharap MoU ini akan menjadi pemangkin kepada perhubungan dua hala lebih erat dan berterusan serta usaha ini akan diberkati dan dipermudahkan,” katanya.
Majlis diteruskan dengan sesi Forum “Perkembangan Sistem Kewangan & Tadbir Urus” bersama tiga panelis iaitu Pengerusi Koperasi Ibnu Affan, Thailand, Abdulrashid Chema; Dekan IBS, Prof. Madya Dr. Selamah Maamor, dan Pensyarah Kanan IBS, Dr. Muhammad Fikri Aziz bersama moderator, Dr. Amirul Faiz Osman.