Bengkel Ekplorasi dan Inovasi Pasaran perkasa kefahaman dalam pengkomersialan produk
Gambar Jawatankuasa Inovasi dan Pengkomersialan, SOG
SINTOK, 8 Mei 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Pusat Pengajian Kerajaan (SoG) telah menganjurkan Bengkel Eksplorasi dan Inovasi Pasaran bertempat di Bilik Seminar, SoG UUM.
Program ini merupakan inisiatif Jawatankuasa Inovasi dan Pengkomersialan, Pusat Pengajian Kerajaan (SoG) yang bertujuan memperkasa kefahaman dan penglibatan warga akademik dalam bidang pengkomersialan produk penyelidikan serta pembangunan harta intelek.
Pengerusi Jawatankuasa Inovasi dan Pengkomersialan SOG, Dr. Rosfaraliza Azura Ramli berkata, bengkel ini dihadiri oleh pensyarah dan penyelidik UUM yang berminat untuk mendalami aspek-aspek kritikal dalam proses pengkomersialan.
Menurutnya, antara topik yang dibincangkan termasuk proses pendaftaran harta intelek, penubuhan syarikat spin-off universiti, serta peranan sandbox sebagai platform sokongan terhadap inovasi dan inisiatif keusahawanan universiti.
Penceramah berpengalaman telah berkongsi ilmu dan panduan praktikal sepanjang bengkel ini termasuk Pengarah Pusat Inovasi dan Pengkomersialan (ICC), Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Faizal Omar; Penyelaras ICC, Dr. Mohd Aamir Adeeb Abdul Rahim yang juga Ketua Pegawai Teknologi EDUMI Sdn. Bhd., sebuah syarikat spin-off UUM serta Pensyarah Kanan, SoG, Dr. Khofizahoh Mohd Karim.
Sepanjang sesi bengkel, peserta telah didedahkan kepada aspek penting berkaitan perlindungan hak cipta, paten, dan reka bentuk industri dalam konteks penyelidikan.
Perkongsian ini turut menjelaskan bagaimana aset intelek yang dimiliki oleh penyelidik dapat dimanfaatkan untuk membangunkan produk dan perkhidmatan yang berdaya saing serta bernilai komersial. Bengkel ini juga menekankan kepentingan pemindahan teknologi sebagai saluran utama dalam menjayakan impak penyelidikan ke peringkat industri dan masyarakat.
Secara keseluruhan, penganjuran bengkel ini jelas mencerminkan komitmen berterusan UUM dalam memacu budaya inovasi dalam kalangan warga akademik serta mendokong aspirasi negara ke arah pembangunan ekonomi berasaskan pengetahuan, kreativiti dan inovasi. – Dr. Mariah Darus @ Mat Junus