TNC (P&I) lancar buku Pelan Strategik IPIZ 2025
Gambar Ahmad Khalidi Abdul Halim
SINTOK, 8 Mei 2025: Institut Penyelidikan dan Inovasi Zakat (IPIZ), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menerima lawatan kerja daripada Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Russayani Ismail dalam satu majlis rasmi yang turut menyaksikan pelancaran Buku Pelan Strategik IPIZ 2025.
Lawatan ini merupakan satu usaha dan inisiatif terhadap peranan IPIZ dalam memperkasa agenda penyelidikan dan inovasi berkaitan zakat di peringkat nasional dan serantau.
Dr. Russayani menekankan kepentingan sinergi antara pusat penyelidikan dan pihak berkepentingan termasuk institusi zakat negeri serta pemain industri Kewangan Sosial Islam dalam memastikan hasil penyelidikan diterjemahkan kepada dasar dan amalan yang memberi manfaat kepada masyarakat, khususnya asnaf.
Sementara itu, Pengarah IPIZ, Prof. Dr. Abdul Halim Abdul Majid menzahirkan penghargaan atas kesudian Dr. Russayani meluangkan masa bagi melihat perkembangan institut serta memberikan suntikan semangat kepada warga kerja IPIZ.
Pelan Strategik IPIZ 2025 yang dilancarkan secara rasmi oleh beliau menekankan empat teras utama iaitu Kecemerlangan Penyelidikan, Kelestarian Komuniti dan Hubungan Industri, serta Kelestarian Kewangan dan Kecemerlangan Perkhidmatan.
Lawatan ini ini diharapkan menjadi pemangkin kepada kejayaan pelaksanaan pelan strategik IPIZ, seterusnya menjadikan institut ini sebagai peneraju rujukan utama dalam bidang penyelidikan zakat dan inovasi di Malaysia dan UUM khususnya. – Ahmad Khalidi Abdul Halim