Campus

Bengkel Inovasi SoL beri pendedahan ‘pitching’ idea inovasi konsep perundangan

Gambar Pusat Pengajian Undang-undang (SOL)

SINTOK, 8 Mei 2025: Jawatankuasa Inovatif dan Pengkomersilan, Pusat Pengajian Undang-undang (SOL) Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Bengkel Inovasi yang bertujuan memberi pendedahan mengenai ‘pitching idea inovasi berkonsepkan perundangan.

Bengkel ini telah disampaikan oleh Timbalan Pengarah (Inovasi) Pusat Inovasi dan Pengkomersilan (ICC), UUM, Prof. Madya Dr. Ani Munirah Mohamad, yang juga merupakan pensyarah di SOL.

Bengkel tersebut telah dihadiri oleh 15 pensyarah SOL daripada pelbagai bidang undang-undang.

Dekan SOL, Prof. Dr. Harlida Abdul Wahab menyatakan hasrat besar SOL untuk melihat percambahan produk dan perkhidmatan inovasi berkonsepkan undang-undang oleh warga SOL yang seterusnya boleh dikomersilkan oleh UUM.

Menurutnya, objektif utama bengkel ini adalah untuk menjana idea inovasi dalam bidang undang-undang, memperkenalkan elemen ‘pitching’ inovasi, serta memberikan bimbingan mengenai cara-cara ‘pitching’ yang berkesan.

Katanya, peserta telah didedahkan kepada pelbagai tip dan strategi untuk mempersembahkan idea inovasi mereka dengan lebih berkesan dan meyakinkan.

“Bengkel ini adalah langkah awal yang penting dalam usaha mencapai matlamat tersebut.

“Dengan adanya bengkel seperti ini, SOL berharap dapat melahirkan lebih banyak idea inovatif yang bukan sahaja relevan dengan bidang undang-undang tetapi juga mempunyai potensi untuk dikomersilkan, sekaligus menyumbang kepada perkembangan industri perundangan di Malaysia,” katanya.

Selain itu, Dr. Ani turut berkongsi pengalaman dan pengetahuan beliau dalam bidang inovasi dan pengkomersilan.

Beliau menekankan kepentingan kreativiti dan pemikiran kritis dalam menghasilkan idea-idea inovatif yang mampu menyelesaikan masalah-masalah dalam bidang undang-undang.

Peserta juga diberi peluang untuk menghasilkan draf idea mereka dan menerima maklum balas serta bimbingan secara langsung daripada beliau. – Dr. Anis Shuhaiza Md Salleh

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button