Campus

Adaptasi teknologi dan resilien diri, citra karisma pelajar SOG

Berita dan gambar Dr. Farahiyah Fadzil

SINTOK, 13 Mei 2025: Majlis Kecemerlangan Pelajar dan Anugerah Dekan SOG bagi sesi A232 dan A241 telah berlangsung dengan penuh meriah dan bermakna pada 29 April lalu di Dewan A, Kompleks Konvensyen, Universiti Utara Malaysia (UUM).

Majlis berprestij ini meraikan 210 pelajar cemerlang yang berjaya memperoleh Purata Mata Semester (PMS) 3.67 ke atas, sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian akademik mereka yang membanggakan. Bahkan, seramai 12 pelajar telah terpilih untuk menerima Anugerah Khas Kecemerlangan Akademik dan Anugerah Khas Kecemerlangan Kepimpinan.

Program yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Pembangunan Pelajar dan Alumni SOG dengan kerjasama Persatuan Pengurusan Awam dan Persatuan Pengurusan Pembangunan ini telah mengangkat tema “SOG Digital Inovasi, Inspirasi Kejayaan” sebagai simbolik kepada usaha pusat pengajian dalam memacu transformasi pembelajaran dan kepimpinan mahasiswa ke arah digital dan global.

Dalam ucapan perasmian, Dekan Pusat Pengajian Kerajaan, Prof. Madya PMgr. Sr. Dr. Mohamad Sukeri Khalid berpesan agar pelajar memperkasa integriti dalam penggunaan teknologi, selain beradaptasi dengan perubahan, berinovasi dan memikul tanggungjawab sosial sebagai bakal pemimpin masa hadapan.

Beliau menekankan bahawa daya tahan (resilience) adalah antara elemen penting yang harus dipupuk.

“Pelajar perlu bersedia menerima kritikan, penolakan dan kegagalan sebagai proses pembelajaran.

“Pelajar hari ini juga mesti memiliki karakter, kebijaksanaan dalam membuat keputusan, serta semangat kepimpinan yang unggul bagi mendepani dunia kerjaya yang semakin mencabar,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Sr. Dr. Farahiyah Fadzil berkata, majlis ini mencabar keberanian pelajar untuk meneroka perkara baharu dan bergerak seiring arus teknologi.

Menurutnya, tema digital yang diangkat memberi peluang kepada sekretariat program yang terdiri daripada 38 pelajar SOG untuk mengasah kemahiran digital, mencungkil kreativiti dan berfikir di luar kotak.

Sekretariat selaku jentera penggerak program ini diterajui oleh Presiden Persatuan Pengurusan Pembangunan, Nurul Ain.

Antara momen yang paling mencuri perhatian ialah gimik perasmian yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan realiti maya (VR). Ianya merupakan satu pendekatan segar yang menunjukkan kebolehan mahasiswa SOG berinovasi dan berani tampil berbeza.

Majlis ini turut menyaksikan satu inisiatif istimewa melibatkan alumni UUM di mana seramai 21 alumni SOG yang kini berkhidmat sebagai staf akademik dan pentadbiran telah menyumbangkan ucapan khas dan inspirasi kepada penerima anugerah.

Ucapan mereka telah dikompilasikan dalam bentuk platform digital interaktif yang turut dilancarkan secara rasmi dalam majlis ini, sekali gus memperkukuh hubungan antara alumni dan mahasiswa. Inisiatif ini membuktikan bahawa sokongan alumni terhadap pembangunan pelajar tidak pernah pudar, bahkan terus menjadi sumber inspirasi buat generasi baharu.

Majlis Anugerah Dekan SOG 2025 membuktikan bahawa kecemerlangan akademik bukan sekadar tentang angka, tetapi bagaimana ia disemai dengan nilai-nilai murni, sahsiah tinggi dan semangat kemajuan.

Majlis ini diharapkan dapat menyuntik semangat dan motivasi buat semua mahasiswa untuk terus berusaha, berinovasi dan mencipta kejayaan, bukan hanya dalam kehidupan di kampus, malah dalam mempersiapkan diri menghadapi cabaran dunia kerjaya yang menanti di hadapan.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button