Bengkel Penyediaan COPPA persediaan akreditasi sementara program ASLiM
Berita dan gambar Dr. Nor Hanani Ismail
SINTOK, 13 Mei 2025: Unit Pengajian Islam dan Falsafah (UPIF), Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP) telah menganjurkan Bengkel Gerak Kerja COPPA ASLiM bertempat di Bilik Mesyuarat Bima Sakti pada 8 Mei lalu.
Penyelaras program, Dr. Nor Hanani Ismail berkata, bengkel ini bertujuan untuk menyelaras penyediaan dokumen Code of Practice for Programme Accreditation (COPPA) bagi permohonan Akreditasi Sementara (PA) kepada MQA bagi Program Sarjana Muda Syariah Gunaan, Linguistik dan Multimedia dengan Kepujian iaitu salah satu program baharu yang bakal ditawarkan oleh SLCP.
Menurutnya, sepanjang bengkel, pensyarah bergerak mengikut kumpulan masing-masing berdasarkan tujuh bidang penilaian (area) seperti yang ditetapkan dalam instrumen COPPA.
Katanya, pendekatan ini bertujuan memastikan setiap komponen dokumen dibangunkan secara sistematik dan menepati standard kualiti MQA.
“Bengkel ini bukan sahaja bertujuan melengkapkan dokumentasi untuk permohonan Akreditasi Sementara (PA), malah menjadi ruang penyelarasan bersama agar setiap komponen dokumen disediakan dengan teliti dan menepati kehendak standard MQA,” katanya.
Bengkel ini turut disusuli dengan Majlis Penghargaan bersama Mantan Dekan SLCP, Prof. Dr. Shukri Ahmad, sebagai tanda penghormatan atas sokongan dan dorongan beliau terhadap pembangunan program ASLiM.
Dalam ucapannya, beliau menyatakan harapan agar program ini menjadi pelopor kepada pendekatan pengajian Syariah secara gunaan, berteraskan integrasi ilmu, teknologi, dan keperluan semasa.
Komitmen dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh pensyarah UPIF sepanjang bengkel ini mencerminkan iltizam SLCP dalam memperkasa penawaran program akademik baharu yang holistik, relevan, dan berkualiti.