General

PAP UUM perkukuh jalinan strategik bersama ASTRO, UNITEN dan UKM

Gambar Pusat Asasi Pengurusan

PUTRAJAYA, 19 Mei 2025: Seramai 28 ahli Exco Persatuan Pelajar Asasi Pengurusan Sesi 2024/2025 bersama staf Pusat Asasi Pengurusan (PAP) telah menyertai Program Delegasi Korporat selama tiga hari, bermula 28 hingga 30 April lalu.

Program ini diketuai oleh Pengarah Pusat Asasi Pengurusan UUM, Prof. Dr. Muhammad Fuad Othman, dan bertujuan untuk menjalin kerjasama strategik serta memperluas jaringan profesional antara PAP dengan pelbagai organisasi korporat dan institusi pendidikan terkemuka di Malaysia.

Lawatan ini turut memberi peluang kepada pelajar Asasi Pengurusan untuk meneroka pelbagai sektor industri, memahami cabaran dan peluang dalam dunia korporat serta pendidikan tinggi, di samping memperkukuh hubungan akademik dan profesional.

Sesi lawatan dimulakan di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Kampus Putrajaya di mana mereka disambut mesra oleh Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Perhubungan Luar), Dr. Azlina Abdullah,  bersama staf UNITEN Business School (UBS) dan Majlis Perwakilan Pelajar UNITEN.

Dr. Muhammad Fuad berkata, lawatan ini menjadi platform pertukaran idea dan pengalaman yang berharga, serta mengeratkan hubungan antara kedua-dua institusi melalui perkongsian amalan terbaik.

Pada sebelah petang, delegasi meneruskan lawatan ke Pusat PERMATA@Pintar Negara, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Lawatan disambut oleh Ketua Program ASASIpintar UKM, Dr. Azizah  Mohd Zahidi, yang turut menyampaikan taklimat korporat.

Sesi diteruskan dengan perkongsian pengalaman oleh Presiden Persatuan Pelajar ASASIpintar UKM Shella Ganesh, dan Presiden Persatuan Pelajar Asasi Pengurusan UUM, Muhammad Thaqif Amsyar Azman, kemudian delegasi dibawa meninjau fasiliti di sekitar Pusat PERMATA@Pintar Negara.

Pada hari terakhir, delegasi UUM berkunjung ke All Asia Broadcast Centre (AABC), ibu pejabat Astro Malaysia Holdings Berhad di Bukit Jalil. Delegasi disambut oleh Penolong Naib Presiden, ASTRO Enterprise, Raja Faraadiana Raja Muzaffar. Antara pengisian lawatan termasuk kunjungan ke beberapa bahagian utama seperti studio persembahan langsung, ASTRO AWANI dan ASTRO RADIO.

Wakil ASTRO daripada pejabat Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan ASTRO turut menyampaikan taklimat berkenaan pengurusan harta intelek serta ASTRO Kasih ESG (Enviromental, Social dan Governance). Delegasi turut berpeluang menyaksikan operasi media secara langsung serta berinteraksi dengan selebriti tanah air seperti Faizal Tahir dan penyampai radio, Radin dan Fazziq. Atur cara di ASTRO ditutup dengan sesi perkongsian berkaitan peluang pekerjaan, latihan industri dan biasiswa di ASTRO.

Secara keseluruhan, program ini telah memberi pendedahan berharga kepada pelajar dalam memahami pengurusan organisasi sebenar, meningkatkan motivasi serta mempersiapkan diri menghadapi dunia kerjaya. – Nur Hidayah Abdullah dan Auni Hasinah Zanudin

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button