ICOGPA sokong Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam
Gambar Muhammad Shamsul Shafie
SINTOK, 19 Mei 2025: Persidangan 4th International Conference on Government and Public Affairs 2025 (ICOGPA 2025) yang dianjurkan oleh Pusat Pengajian Kerajaan (SOG), Universiti Utara Malaysia (UUM), memberi fokus kepada Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA), khususnya aspek penghayatan nilai dan tata kelola.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, persidangan tersebut selaras dengan nilai kelima dalam kerangka H.E.M.A.T., iaitu Telus Tadbiran, yang diperkenalkan sebagai panduan nilai baharu dalam sektor awam.
“Persidangan ini memberi ruang untuk membincangkan tadbir urus organisasi yang berdaya tahan dalam menghadapi cabaran global.
“Kerangka H.E.M.A.T. yang diperkenalkan tahun lalu membawa perubahan minda dalam cara berfikir dan bertindak,” katanya semasa merasmikan ICOGPA 2025 di EDC UUM, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia (IIM) dan Profesor Adjung di SOG menjelaskan bahawa pelaksanaan ARPA bertujuan membentuk sektor awam yang lebih dinamik, berorientasikan rakyat (people-centric) dan berpaksikan prestasi.
Menurutnya, kerjasama rentas agensi, kementerian, jabatan serta sektor swasta dan industri perlu diperkukuh bagi mengatasi budaya kerja silo.
“Agenda reformasi ini turut memberi perhatian kepada pemodenan perkhidmatan awam melalui transformasi digital dan penggunaan kecerdasan buatan (AI).
“Saya berharap perbincangan dalam persidangan ini akan mencetuskan idea baharu untuk memperkukuh dasar dan tadbir urus dalam sektor awam,” katanya.
Majlis turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara UUM dan IIM yang ditandatangani oleh Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan dan Ketua Pegawai Eksekutif IIM, Rahman Mohd Din.
Dalam ucapan Dr. Mohd Foad berkata, UUM sebagai universiti pengurusan terkemuka sentiasa memberi penekanan terhadap bidang kerajaan dan hal ehwal awam sejak penubuhannya lebih 40 tahun lalu.
“Komitmen UUM terhadap kecemerlangan akademik dan pembangunan sektor awam mencerminkan aspirasi kami untuk menyumbang secara bermakna kepada tadbir urus negara dan antarabangsa,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa ICOGPA menyediakan platform penting untuk membincangkan isu dasar awam, tadbir urus siber, kepimpinan beretika, penglibatan sivik dan reformasi tadbir urus global.
Majlis diteruskan dengan Forum: Resilience Governance and Integrity in the Age of Global Challenges disertai panelis seperti Pengerusi Lembaga Pengarah, UUM, Tan Sri Dr. Mohd Shukor Mahfar; Ahli Lembaga Pengarah IIM, Dato’ Seri Mustafar Ali, dan Prof. Dr. Sataporn Roengtam dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Mahidol University, Thailand bersama moderator, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed.