Campus

Graduan perlu lengkap dengan ilmu dan kemahiran insaniah

Gambar Mohd Foad Hamid

SINTOK, 20 Mei 2025: Graduan masa kini perlu lebih kompetitif dan tangkas dalam menyesuaikan diri dengan perubahan landskap kerjaya, bukan hanya bergantung kepada pencapaian akademik semata-mata.

Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, penglibatan aktif dalam program pembangunan kemahiran insaniah serta pembentukan jaringan profesional amat penting bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan.

Menurutnya, penganjuran Karnival Kerjaya UUM 2025 merupakan langkah strategik memperkukuh ekosistem kerjaya yang menyeluruh, selari dengan Teras 6 Pelan Strategik UUM dan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui pelaksanaan iCGPA, yang menekankan keseimbangan ilmu, kemahiran dan nilai.

Teks ucapan beliau telah dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed sempena majlis perasmian karnival tersebut semalam.

UUM mencatatkan kadar kebolehpasaran graduan sebanyak 96.6 peratus pada tahun 2024, meningkat daripada 95 peratus pada tahun sebelumnya.

Dr. Mohd Foad turut menekankan keperluan graduan menguasai empat kemahiran utama mengikut laporan Oxford Economics iaitu Kemahiran Digital, Kemahiran Berfikir Tangkas, Kemahiran Interpersonal dan Komunikasi serta Kemahiran Operasi Global.

Beliau turut menghargai kerjasama erat industri dan agensi kerajaan dalam menjayakan pelbagai inisiatif pembangunan kerjaya pelajar.

Sebanyak 50 reruai dari pelbagai agensi mengambil bahagian dalam pameran Karnival Kerjaya yang berlangsung selama dua hari bermula semalam di Dewan Mu’adzam Shah, UUM.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif Talent Bank Sdn. Bhd., Ben Ho; pendaftar, Ahmad Rasidi Abdullah; Pengarah Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan, Dr. Fikriyah Abdullah; serta Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UUM, Mohamad Amar Aidid Mohd Zain.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button