Gotong-royong BAHTERA pastikan PPKKTPIS berwajah baharu
Gambar PPKKTPIS
SINTOK, 21 Mei 2025: Persatuan Kebajikan dan Kesejahteraan Universiti Utara Malaysia (BAHTERA) dengan kerjasama Lembaga Pengelola Taska/Tadika UUM menganjurkan program gotong-royong Siri 2 di Pusat Perkembangan Kanak-Kanak Tunku Puteri Intan Safinaz (PPKKTPIS) semalam dengan memfokuskan kepada proses mengecat semula bangunan PPKKTPIS.
Pengerusi Lembaga Pengelola Taska/Tadika UUM, Prof. Madya Dr. Rohana Abdul Rahman berkata, usaha ini adalah kesinambungan daripada program gotong-royong yang telah diadakan pada 13 Mei lalu dan merupakan sebahagian daripada program penambahbaikan di PPKKTPIS.
Menurutnya, program gotong-royong ini akan dijalankan secara berkala dan memerlukan kerjasama pelbagai pihak.
Selain semangat dan kerjasama antara staf UUM dan PPKKTPIS, program ini dapat mengoptimumkan sumber yang ada dan menjimatkan kos yang diperlukan untuk menaiktaraf bangunan yang agak usang.
Program ini disertai oleh persatuan-persatuan staf dengan kehadiran ahli-ahli dalam kalangan Persatuan PERPATI, KESKA, SETIA dan staf dari Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Infrastruktur (JPPI).
Projek wajah baharu PPKKTPIS ini diharapkan dapat meniupkan semangat baharu kepada warga PPKKTPIS seiring dengan penambahbaikan kepada perkhidmatan yang diberikan kepada anak-anak di PPKKTPIS.
Turut serta, Timbalan Pengerusi Persatuan BAHTERA, Prof. Madya Dr. Fauziah Md. Jaafar. – Nurul Shakinah Mohd Saipudin