Tech

LIMA 2025 platform inovasi, pelaburan dan diplomasi global

LANGKAWI, 22 Mei 2025: Mengangkat tema Innovate Today, Thrive Tomorrow, Langkawi International Maritime and Aerospace Exhibition, (LIMA) 2025 berlangsung dengan penuh gilang-gemilang, sekali lagi mengukuhkan kedudukannya sebagai antara acara pertahanan dan aeroangkasa terbesar di rantau Asia Pasifik.

LIMA 2025 membawa pelbagai impak positif yang signifikan kepada negara dari segi ekonomi, pertahanan, pelancongan, serta pembangunan teknologi dan sumber manusia.

LIMA 2025 dilihat menjadi platform utama bagi syarikat-syarikat tempatan dan antarabangsa untuk menjalin kerjasama strategik. Kehadiran syarikat besar dari sektor pertahanan, aeroangkasa, dan maritim membuka peluang kepada industri tempatan untuk memeterai perjanjian perniagaan, memacu pelaburan asing, dan memperkukuh rantaian bekalan tempatan. Ini secara langsung menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara, khususnya di Kedah dan Langkawi.

Pameran ini memberi peluang kepada Malaysia untuk melihat dan menilai teknologi terkini dalam bidang pertahanan dan aeroangkasa. Ia juga menjadi medan untuk mempamerkan inovasi tempatan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) oleh agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi, dan syarikat tempatan. Kolaborasi teknologi yang terhasil daripada LIMA boleh meningkatkan keupayaan pertahanan negara dan daya saing industri tempatan di peringkat global.

Langkawi, sebagai lokasi utama LIMA, mendapat manfaat besar dari segi peningkatan ketibaan pelancong. Acara ini menarik ribuan pelawat domestik dan antarabangsa, termasuk delegasi rasmi, usahawan, dan pelancong. Hotel, restoran, pengangkutan, dan perniagaan kecil di sekitar Langkawi akan menikmati lonjakan ekonomi yang ketara sepanjang acara berlangsung.

LIMA 2025 juga menjadi medan pendidikan melalui seminar, forum, dan bengkel yang dianjurkan. Pelajar, jurutera muda, dan profesional tempatan berpeluang belajar terus daripada pakar-pakar industri bertaraf dunia. Ini membantu dalam pembangunan modal insan yang berkualiti tinggi, selari dengan aspirasi negara untuk menjadi hab teknologi dan pertahanan serantau.

Penyertaan negara-negara luar dalam LIMA 2025 mencerminkan kepercayaan antarabangsa terhadap peranan Malaysia sebagai pemain penting dalam keselamatan serantau. Pertemuan dua hala antara negara-negara peserta membantu memperkukuh hubungan diplomatik dan ketenteraan, sekali gus mewujudkan suasana kestabilan dan kerjasama di Asia Tenggara.

LIMA juga menjadi satu platform yang merapatkan industri dan akademia. Walaupun UUM bukan universiti berfokuskan teknikal dalam bidang aeroangkasa dan marintim namun graduan pengurusan dilihat sebagai pelengkap sesebuah organisasi. Penyertaan UUM dalam LIMA membuka peluang koloborasi ke arah menempatkan pelajar Latihan Industri serta meningkatkan kebolehpasaran graduan UUM.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button