Campus

Lebih 4,000 pelajar banjiri Karnival Kerjaya UUM 2025

Gambar Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG)

SINTOK, 22 Mei 2025: Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG) terus komited dalam memperkasa kebolehpasaran graduan menerusi penganjuran Karnival Kerjaya UUM 2025 yang berlangsung selama dua hari bermula 19 hingga 20 Mei lalu di Dewan Mu’adzam Shah.

Karnival yang bertemakan “Belia Madani: Mencorak Masa Depan Negara” ini berjaya menghimpunkan lebih 50 syarikat dan agensi dari pelbagai sektor industri yang menawarkan lebih 1,000 peluang pekerjaan dan latihan industri kepada pelajar dan graduan.

Pengarah PPKKG, Dr. Fikriyah Abdullah berkata, karnival ini adalah antara inisiatif berterusan UUM dalam menjadikan graduan sebagai individu yang kompetitif dan bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan yang semakin mencabar.

Menurutnya, karnival ini mencatat kehadiran memberangsangkan dengan lebih 4,000 pelajar UUM membanjiri ruang pameran sepanjang dua hari tersebut.

“Kehadiran yang tinggi ini mencerminkan minat dan kesedaran pelajar terhadap keperluan merancang kerjaya dari awal,” katanya.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed.

Antara aktiviti utama yang dijalankan sepanjang karnival ini termasuk lebih 50 pameran kerjaya, temu duga terbuka bersama wakil syarikat, khidmat semakan dan pembaikan resume, sesi kaunseling kerjaya secara individu bersama majikan, ceramah motivasi dan bengkel persediaan kerjaya, pameran kereta dan jualan vendor-vendor kecil serta cabutan bertuah hadiah yang menarik.

Karnival ini turut mendapat sambutan menggalakkan daripada mahasiswa tahun akhir, pelajar-pelajar dari universiti luar seperti Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Jitra dan beberapa universiti lain turut hadir bagi merebut peluang membina jaringan profesional dan meningkatkan prospek kerjaya masing-masing.

PPKKG akan terus memberi komitmen yang tinggi dalam penganjuran karnival seperti ini secara tahunan dan diperluaskan dengan lebih banyak penyertaan industri pada masa akan datang. – Anis Zulaikha Kamal

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button