Campus

Kefahaman dan pengurusan kewangan koperasi kukuhkan pemahaman pelajar

SINTOK, 25 Mei 2025: Program sesi perkongsian ilmiah bertajuk “Kefahaman Koperasi dan Pengurusan Kewangan Koperasi” telah berjaya dianjurkan oleh kursus SGDFK2013 Entrepreneurship and Co-Operative Management, Pusat Pengajian Pendidikan.

Program ini merupakan sebahagian daripada pengisian akademik bagi kursus SGDFK2013 Entrepreneurship and Co-Operative Management, yang melibatkan seramai 33 orang pelajar.

Tujuan utama program ini adalah untuk meningkatkan pemahaman pelajar terhadap konsep koperasi serta aspek pengurusan kewangan koperasi secara praktikal dan menyeluruh.

Sesi perkongsian dimulakan dengan ucapan aluan daripada Pensyarah Kursus, Prof. Madya Dr. Norazlinda Saad, yang mengucapkan terima kasih kepada penceramah jemputan, Noor Azlita Haniff serta semua peserta yang hadir.

Beliau menyatakan harapan agar sesi perkongsian ini dapat membuka minda pelajar mengenai peranan dan kepentingan koperasi dalam pembangunan sosioekonomi negara. Beliau turut menekankan kepentingan kolaborasi antara institusi pendidikan dan agensi luar seperti ANGKASA dalam memperkasa pembelajaran pelajar secara holistik dan berteraskan pengalaman dunia sebenar.

Sesi perkongsian telah disampaikan oleh Noor Azlita Haniff, Penolong Pengurus, Unit Koperasi IPT dan Belia dari ANGKASA. Dalam sesi yang berlangsung selama tiga jam, beliau telah berkongsi maklumat penting berkaitan fungsi dan struktur koperasi, kaedah penubuhan, serta aspek penting dalam pengurusan kewangan koperasi.

Penyampaian   yang interaktif dan padat dengan contoh-contoh sebenar telah berjaya menarik minat para pelajar dan mencetuskan pelbagai persoalan serta perbincangan yang bermanfaat.

Secara keseluruhannya, program ini telah mencapai objektif yang ditetapkan dan mendapat maklum balas positif daripada para peserta.

Pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kesudian beliau berkongsi ilmu dan pengalaman, serta berharap kerjasama sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang demi memperkaya pengetahuan pelajar dalam bidang koperasi dan keusahawanan. –  Prof. Madya Dr. Norazlinda Saad

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button