BGS beyond the boardroom: Corporate visit beri pendedahan dunia korporat kepada PELAJAR UUM
Berita dan gambar oleh: Nur Athirah Najwa Asrul
KUALA LUMPUR, 28 Julai 2026: Beta Gamma Sigma (BGS) UUM Chapter, Universiti Utara Malaysia (UUM) telah berjaya menganjurkan program BGS Beyond the Boardroom: Corporate Visit yang melibatkan penyertaan seramai 30 orang pelajar terdiri daripada ahli Beta Gamma Sigma (BGS) UUM Chapter dan wakil Accounting Competency Challenge (ACC).
Program ini bertujuan memberikan pendedahan secara langsung kepada peserta mengenai persekitaran kerja profesional, operasi organisasi serta keperluan industri semasa.

Program selama dua hari itu dimulakan dengan perjalanan dari Universiti Utara Malaysia ke Kuala Lumpur pada 27 Julai 2026 sebelum peserta mengikuti sesi lawatan korporat pada keesokan harinya.
Lawatan pertama telah diadakan di Huntsman Global Business Services (GBS) yang memberi peluang kepada peserta memahami fungsi pusat perkhidmatan global, budaya kerja organisasi antarabangsa serta perkembangan kerjaya dalam bidang perniagaan dan perkhidmatan profesional.
Seterusnya, peserta meneruskan lawatan ke PwC Malaysia, sebuah firma perkhidmatan profesional bertaraf antarabangsa. Melalui sesi perkongsian bersama pegawai syarikat, peserta didedahkan kepada amalan kerja profesional, budaya organisasi, laluan kerjaya, program latihan industri serta kemahiran yang menjadi keutamaan majikan pada masa kini.
Sepanjang kedua-dua lawatan tersebut, peserta turut berpeluang berinteraksi secara langsung dengan wakil industri melalui sesi perkongsian ilmu, soal jawab dan perbincangan mengenai prospek kerjaya.
Pengalaman ini membantu peserta memperoleh gambaran yang lebih jelas mengenai cabaran dan keperluan sebenar dunia pekerjaan selain membina keyakinan untuk menghadapi latihan industri dan kerjaya selepas tamat pengajian.
Matlamat ini selaras dengan objektif program untuk meningkatkan pengetahuan, kemahiran insaniah, keyakinan diri serta memperkukuhkan jaringan profesional bersama pihak industri.

Menurut Pengarah Program, Nur Athirah Najwa binti Asrul, program seperti ini merupakan platform penting dalam merapatkan jurang antara pembelajaran di universiti dengan keperluan sebenar industri.
Melalui pendedahan secara langsung kepada organisasi korporat, pelajar bukan sahaja memperoleh pengetahuan baharu malah dapat membina rangkaian profesional yang bermanfaat untuk pembangunan kerjaya pada masa hadapan.
Penganjuran program ini juga menyokong aspirasi Universiti Utara Malaysia dalam melahirkan graduan yang holistik, kompeten dan berdaya saing melalui pengukuhan hubungan antara institusi pengajian tinggi dan industri.
Selain meningkatkan kebolehpasaran graduan, program ini turut memperkukuhkan peranan Beta Gamma Sigma (BGS) UUM Chapter sebagai organisasi yang aktif menyediakan program pembangunan profesional kepada ahlinya.
Program ini dianjurkan oleh Beta Gamma Sigma (BGS) UUM Chapter di bawah UUM College of Business (UUM COB) dengan sokongan penasihat kelab, Dr. Nur Shuhamin binti Nazuri.
Gambar 1: Peserta bersama wakil Huntsman Global Business Services (GBS) selepas sesi lawatan korporat yang memberi pendedahan mengenai operasi syarikat global, budaya organisasi dan perkembangan industri.
Gambar 2: Peserta BGS Beyond the Boardroom: Corporate Visit bergambar kenangan bersama wakil PwC Malaysia selepas sesi perkongsian mengenai budaya kerja, pembangunan profesional dan peluang kerjaya.



