Guru pemacu reformasi pendidikan
SINTOK, 25 Mei 2025: Majlis Perasmian Sambutan Hari Guru anjuran Pusat Pengajian Pendidikan (School of Education, SOE) 2025 telah berlangsung meriah di Auditorium SOIS, Universiti Utara Malaysia (UUM), dengan tema “Guru Pemacu Reformasi Pendidikan”.
Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh Dekan Pusat Pengajian Pendidikan UUM, Prof. Madya Dr. Mohamad Khairi Othman, yang menzahirkan rasa syukur atas kehadiran para pensyarah, pelajar serta tetamu jemputan dari dalam dan luar negara.
Beliau turut mengalu-alukan kehadiran delegasi seramai 180 orang dari Universitas Negeri Padang (UNP), Indonesia ke UUM sempena sambutan ini.
“Tema sambutan tahun ini membawa makna yang besar – bukan sekadar idealisme, tetapi tanggungjawab besar yang digalas oleh bakal guru dalam mendepani cabaran sistem pendidikan masa ini,” ujarnya.
Beliau turut menyampaikan amanat Menteri Pendidikan, Fazlina Sidek, yang menekankan peranan guru bukan hanya sebagai penyampai ilmu, malah sebagai peneraju utama dalam menjayakan agenda reformasi pendidikan negara.
Dalam menghadapi era teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), robotik dan sistem pengaturcaraan, guru perlu menyesuaikan pendekatan pengajaran agar kekal relevan dan menarik minat pelajar masa kini.
Majlis turut diserikan dengan ucapan oleh Prof. Dr. Afdal, Dekan Fakulti Pendidikan UNP, yang merakamkan penghargaan atas sambutan hangat daripada pihak UUM.
“Selamat Hari Guru kepada rakan-rakan di Malaysia. Di Malaysia, Hari Guru disambut pada 16 Mei, manakala di Indonesia pada 25 November. Pertemuan ini membuka ruang kepada kerjasama ilmiah antara kedua-dua institusi dalam isu pendidikan guru di peringkat serantau dan global,” katanya.
Kemuncak majlis adalah Syarahan Prof. Adjung yang disampaikan oleh Datuk Dr. Amin Senin, bertajuk “Guru Pemacu Reformasi Pendidikan”, yang memberikan pencerahan mengenai peranan strategik guru dalam membentuk masa depan pendidikan.
Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan nyanyian dan deklamasi sajak bertemakan penghargaan kepada insan bergelar guru, yang menyemarakkan lagi semangat sambutan Hari Guru di UUM. – Nurul Hana Ahmad