Campus

Statistik rasuah masih terkawal dan perlukan usaha berterusan

Gambar Muhammad Shamsul Shafie

SINTOK, 27 Mei 2025: Situasi rasuah di Malaysia masih berada pada tahap terkawal, namun usaha berterusan amat diperlukan bagi memastikan budaya sifar rasuah terus diperkasa dalam setiap lapisan masyarakat.

Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Kedah, Datuk Ahmad Nizam Ismail, menyatakan demikian ketika menyampaikan ceramah khas bertajuk “Integriti dan Sifar Rasuah: Tanggungjawab Bersama” sempena Perhimpunan Bulanan Staf Universiti Utara Malaysia (UUM) yang berlangsung di Auditorium Pusat Pengajian Antarabangsa (SOIS), pagi tadi.

Dalam ceramah tersebut, beliau turut membentangkan statistik terkini berkaitan isu rasuah di peringkat nasional.

Katanya, nilai integriti perlu dijadikan teras utama dalam segenap aspek pentadbiran dan pengurusan, khususnya dalam kalangan penjawat awam serta institusi pengajian tinggi.

Majlis turut menyaksikan pelancaran inisiatif Go Green sebagai simbol komitmen UUM terhadap kelestarian alam sekitar, sejajar dengan Dasar Hijau Negara dan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) oleh Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan.

Sebagai tanda sokongan terhadap amalan hijau di kampus, anak pokok telah diserahkan kepada Ketua-Ketua Zon Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) UUM. Antara penerima ialah Mohd Yusnaidi Md Sabri (Zon Akasia), Prof. Dr. Mohammad Fuad Othman (Zon Tekoma), Prof. Dr. Harlida Abdul Wahab (Zon Bougainvillea), Asmaniza Mansor (Zon Sintok), Prof. Madya Dr. Herman Shah Anuar (Zon Meranti), Dr. Zaim Ahmad (Zon Cengal), dan Ahmad Mujahid Abdul Ghani (Zon Gajus).

Zon Sintok diumumkan sebagai pemenang Kategori Sudut EKSA Terbaik, manakala Kategori Sudut Go Green Terbaik dimenangi oleh Zon Cengal, hasil kreativiti dan komitmen mereka dalam mewujudkan suasana kerja yang kondusif dan lestari.

Majlis turut diserikan dengan penyerahan cek cura bernilai RM120,000 oleh Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK) menerusi program Tajaan Bantuan Makanan (Fidyah), yang bakal memanfaatkan 150 pelajar asnaf UUM dalam bentuk bantuan kebajikan makanan fasa pertama. Penyerahan tersebut disempurnakan oleh Ketua Bahagian Baitulmal MAIK, Muhammad Suhaimi Zulkiflee dan disaksikan oleh Pengarah Pusat Islam UUM, Mohd Yusnaidi Md Sabri.

Majlis yang dianjurkan oleh Jabatan Bendahari ini turut menyaksikan pelancaran Pakej Hiking Edu-Tourism dan penyerahan cek sebanyak RM10,000 untuk bantuan aktiviti pengimarahan masjid serta RM30,000 untuk Tabung Pelajar Asnaf oleh Bank Rakyat. – Nurul Hana Ahmad (Pelajar Pelatih dari USIM)

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button