Campus

TalentCorp perkasa pelajar UUM melalui sesi perkongsian MyNext dan LinkedIn

Berita dan gambar Siti Nazirah Jaya

SINTOK, 3 Jun 2025: Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC) dengan kerjasama Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) telah menganjurkan sesi perkongsian bersama lebih 200 pelajar tahun akhir Universiti Utara Malaysia (UUM) bagi memperkenalkan platform MyNext.

Sesi perkongsian ilmu ini dikendalikan oleh wakil TalentCorp, diketuai oleh Naib Presiden Campus Engagement & Mobility, Ardi Gunsuh, bersama Ketua Bersama Campus Engagement & Mobility, Muhammad Hasyimi Hasyim Mohd Suddin, dan Pelatih dari Unit Graduate & Emerging Talent (GET), Muhammad Aiman Mohamad Suhaimi.

Pengarah CUIC, Prof. Dr. Chandrakantan Subramaniam berkata, program ini merupakan satu inisiatif strategik yang bertujuan membantu pelajar membina profil kerjaya yang kukuh dan bersedia menghadapi alam pekerjaan.

Menurutnya, selain memberi tumpuan kepada cara mendaftar dan mengemas kini profil dalam MyNext, serta menghubungkan kemahiran pelajar dengan peluang latihan industri yang sesuai, pelajar didedahkan kepada kepentingan penjejakan kemahiran dan pembangunan jenama peribadi melalui LinkedIn, sejajar dengan keperluan pasaran kerja semasa.

Dalam perkongsian bertajuk “No GPS, No Problem: Navigating Your Career with MyNext”, pelajar diperkenalkan kepada platform MyNext – satu inisiatif penting TalentCorp yang membantu pelajar mengenal pasti kekuatan dan jurang kemahiran mereka berdasarkan pengalaman pembelajaran serta aktiviti sepanjang pengajian. Platform ini turut memberi panduan kepada pelajar dalam merancang laluan kerjaya secara lebih strategik dan berasaskan data.

Program ini juga melibatkan sesi kedua bertajuk “Main Character Energy: Showcasing Your Story on LinkedIn” yang memberi pendedahan kepada pelajar tentang cara membina profil LinkedIn yang menarik, profesional, dan menepati keperluan industri masa kini. Penekanan turut diberikan terhadap bagaimana pelajar boleh menonjolkan nilai dan identiti diri mereka untuk menarik perhatian bakal majikan.

Ardi berkata, kedua-dua topik ini selari dengan aspirasi TalentCorp dalam memperkasa bakat muda negara agar lebih bersedia menghadapi cabaran dunia kerjaya.

Beliau turut menekankan pentingnya platform digital seperti MyNext dan LinkedIn dalam memudahkan pelajar mengurus dan memasarkan keupayaan diri mereka secara lebih berkesan.

MyNext, yang dibangunkan oleh TalentCorp, merupakan platform komprehensif yang menghubungkan pelajar, institusi pengajian tinggi, dan majikan bagi memudahkan peralihan graduan ke alam pekerjaan. Platform ini menyediakan pelbagai alat seperti penilaian kendiri, panduan membina resume, dan akses kepada peluang latihan industri berstruktur dan berbayar.

Sesi ini mendapat sambutan hangat daripada pelajar UUM yang menunjukkan minat mendalam dalam merancang kerjaya mereka. TalentCorp berharap kerjasama ini dapat memperkukuh kesiapsiagaan graduan UUM dalam menghadapi cabaran dunia pekerjaan yang semakin kompetitif.

Dr. Chandrakantan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak TalentCorp atas perkongsian yang bermanfaat ini.

Menurutnya, program sebegini akan terus dijadikan medium penting dalam memperkukuh hubungan universiti-industri serta memperkasa kebolehpasaran graduan UUM.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button