Ecoprint Sabang: menyulam alam dalam inovasi tekstil lestari
Gambar AJK ASSIBEF
ACEH, 3 Jun 2025: Kumpulan peserta 2nd Aceh Summer School in Islamic Business, Economics and Finance (ASSIBEF) yang disertai pelajar dan pensyarah Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan lawatan industri ke perusahaan kraftangan Ecoprint Sabang.
Pensyarah IBS, Dr. Hawwa Abdul Mokti berkata, lawatan ini adalah sebahagian daripada program International Community Services: Empowering Sabang MSMEs Through Technology and International Network yang memberi pendedahan eksklusif kepada peserta tentang penghasilan produk tekstil mesra alam yang berasaskan bahan semula jadi.
Ecoprint Sabang merupakan perusahaan yang menghasilkan pelbagai produk kraf seperti pakaian, pasmina, tudung, beg, topi dan telekung dengan teknik cetakan ecoprint menggunakan tumbuhan tempatan.
Antara bahan utama yang digunakan termasuklah daun lanang, daun jati, akar mengkudu dan kayu secang, semuanya tanpa sebarang pewarna kimia. Kaedah ini menghasilkan corak semula jadi yang unik dan eksklusif pada setiap helaian kain, menjadikan produk-produk ini edisi terhad dan bernilai tinggi di pasaran.
Proses pembuatan Ecoprint dimulakan dengan pemilihan dan pengumpulan bahan semula jadi, diikuti oleh pembersihan kain kapas, sutera atau rayon bagi menanggalkan sebarang sisa kimia. Kain yang telah dibersihkan direndam dalam larutan mordant (seperti tawas) bagi membantu penyerapan warna semula jadi. Daun dan bunga kemudiannya disusun mengikut kreativiti pada permukaan kain sebelum dibungkus dan dikukus atau direbus selama beberapa jam. Selepas itu, ia dikeringkan di tempat teduh untuk mengelakkan warna pudar akibat cahaya matahari. Hasil akhir memperlihatkan cetakan corak yang tidak akan sama antara satu dengan yang lain menjadikannya karya seni alam yang asli.
Peserta turut diberi peluang menyaksikan dan mencuba sendiri proses Ecoprint, termasuk menyusun bahan pada kain serta mengukus hasil bungkusan tersebut. Pengalaman ini memberikan kefahaman praktikal dan penghargaan yang mendalam terhadap seni kraf tradisional yang berasaskan kelestarian alam.
Selain daripada itu, peserta turut dimaklumkan bahawa produk Ecoprint Sabang telah berjaya menembusi pasaran Malaysia melalui kerjasama dengan agensi pelancongan dan kedai cenderamata, serta turut menerima kunjungan pelancong yang berminat untuk menyaksikan proses pembuatan secara langsung di bengkel seperti Evy Handicraft.
Sementara itu, Pengarah Institut Pengurusan Halal (IHM), Dr. Noor Aina Mhd Khotib berkata, lawatan ini membuka perspektif baharu kepada pelajar tentang potensi besar produk berasaskan alam dalam industri halal dan kreatif.
Menurutnya, ianya membuktikan bahawa inovasi boleh berjalan seiring dengan prinsip kelestarian dan nilai Islam.
“Ini merupakan satu bentuk keusahawanan yang sangat relevan dengan agenda pembangunan mampan masa kini.
“Lawatan ini memberi impak yang besar kepada para peserta dengan memperkenalkan satu bentuk inovasi produk yang mesra alam dan berdaya saing untuk pasaran serantau,” katanya.
Ia turut menjadi sumber inspirasi dalam pembangunan keusahawanan berteraskan nilai halal dan kelestarian alam, selari dengan aspirasi ekonomi mampan. Diharapkan usaha seperti ini dapat memperluaskan pengetahuan peserta terhadap potensi industri kreatif berasaskan alam, serta menggalakkan lebih ramai usahawan muda untuk meneroka bidang ini secara serius dan strategik. – Dr. Hawwa Abdul Mokti