General

Bengkel Pemantapan Penjawat dan Perancangan Strategik SOG selaras peranan dan tanggungjawab jawatankuasa

Berita dan gambar Dr. Khofizhoah Mohd Karim

PULAU PINANG, 11 Jun 2025: Pusat Pengajian Kerajaan (SOG) telah mengadakan Bengkel Pemantapan Penjawat dan Perancangan Strategik untuk tahun 2025 pada 22 hingga 24 Mei lalu di Bahang Bay Hotel.

Bengkel ini bertujuan untuk menyelaras peranan dan tanggungjawab setiap jawatankuasa bagi memenuhi pencapaian teras Pelan Strategik SOG, selain turut memfokuskan kepada strategi-strategi bersesuaian yang boleh diaplikasi di peringkat SOG bagi mencapai sasaran Pelan Strategik 2025.

Dekan SOG, Prof. Madya PMgr. Sr. Dr. Mohamad Sukeri Khalid berkata, bengkel ini bertujuan untuk menyebar luas maklumat tentang Indikator Pencapaian Pelan Strategik kepada semua jawatankuasa di SOG.

“Ini penting supaya terdapat kebersamaan antara warga SOG dalam memainkan peranan dalam mencapai Pelan Strategik 2025.

“Saya berpuas hati dengan persiapan semua jawatankuasa sebelum bengkel berlangsung dan komitmen yang diberikan oleh peserta sepanjang bengkel ini diadakan,” katanya.

Beliau berharap supaya bengkel ini dapat memberi semangat dan motivasi kepada peserta untuk memastikan bahawa Indikator Pencapaian Pelan Strategik SOG dapat dicapai dengan cemerlang untuk tahun 2025.

Bengkel ini diadakan selama dua hari dengan memberi tumpuan kepada pencapaian teras yang masih kurang memuaskan. Sesi brainstroming dalam kalangan peserta turut diadakan bagi menghasilkan idea, cadangan dan strategi yang holistik, praktikal dan boleh dilaksanakan untuk mencapai sasaran Pelan Strategik.

Selain itu, sesi taklimat dan penerangan berkaitan Tata Cara Menerima Penajaan dan Sumbangan Luar telah diadakan oleh wakil Unit Integriti, Jabatan Canselori UUM iaitu Mohammad Faizal Haji Azid @ Aziz.

Mohammad Faizal menerangkan secara terperinci tentang sumbangan yang dibenarkan dan sumbangan yang tidak dibenarkan diterima oleh penjawat awam, malah pelbagai isu dan persoalan dirungkai olehnya melalui pertanyaan yang dikemukakan oleh peserta bengkel.

Bengkel ini turut diselitkan dengan acara sukaneka yang diuruskan oleh staf pentadbiran SOG pada sebelah petang. Pelbagai acara permainan sukaneka menarik telah diadakan bertemakan ‘Recharge & Rise’ – Outdoor Games  di Pantai Teluk Bahang. Sukaneka ini dimulakan dengan senamrobik yang disertai oleh peserta  dan diteruskan dengan permainan sukaneka seperti Lambung-Lambung Sayang, Jambatan Kalut, Pala Tau, Crazy Silent dan Beauty And The Beast.

Pengerusi Bengkel Pemantapan Penjawat dan Pelan Strategik SOG, Prof. Madya Dr. Rozita Arshad berkata, program sukaneka ini merupakan platform terbaik untuk menyatukan peserta melalui sukan dan riadah.

“Acara sukaneka ini dapat merapatkan hubungan antara satu sama lain serta menyuburkan semangat kesepakatan. Pengisian permainan sukaneka memberi impak besar kepada kesihatan supaya sentiasa cergas dan aktif,” katanya.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button