Groom Up! The Future Is Ahead persiapkan pelajar tahun akhir STHME ke alam pekerjaan
Gambar STHEM
SINTOK, 16 Jun 2025: Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara (STHEM) di bawah Kelas Pengurusan Acara GHZNK 4063 dengan kerjasama Persatuan Pengurusan Pelancongan (TOMAS) telah menganjurkan program ‘Groom Up! The Future is Ahead!’ di Dewan Peperiksaaan STHEM.
Pensyarah Kanan, Raslinda Mohd. Ghazali berkata, acara ini berjaya menghimpunkan seramai 55 peserta, yang kesemuanya merupakan pelajar tahun akhir yang tidak sabar untuk melengkapkan diri mereka dengan kemahiran dan keyakinan untuk mengharungi alam pekerjaan.
Menurutnya, ianya dianjurkan untuk membangunkan sahsiah profesional, keyakinan diri dan penampilan diri bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan masa kini.
Antara pengisian program tersebut adalah sesi ceramah dandanan diri lelaki dan perempuan bersama Prof. Madya Dr. Kamal Izzuwan Ramli, di mana pelajar mendapat pendedahan tentang kod pakaian yang sesuai, penampilan profesional dan kebersihan diri.
Acara kemuncak program ini adalah sesi solekan profesional bersama Firza Izzati di mana pelajar dapat mengenal jenis-jenis produk yang digunakan untuk solekan dan belajar cara mengaplikasi solekan yang halus untuk lebih berkeyakinan di tempat kerja.
Acara ini turut dijayakan melalui tajaan dan sumbangan berbentuk wang tunai dan barangan seperti dua karton air mineral. Antara penaja utama untuk acara ini ialah Ai-Cha cawangan Kangar dan Perlis, RedOne, Pak Man Cafe di Jitra, dan BSN Mart. Oleh itu, penaja Ai-Cha dibenarkan membuka booth jualan minuman untuk peserta serta membuat promosi barang jualan mereka. Kehadiran dan galakan penaja ini merupakan tambahan yang tidak ternilai kepada acara tersebut dan jelas menunjukkan keberkesanan kerjasama antara rakan industri dan universiti.
Acara ini adalah pengalaman yang terbaik untuk pelajar kerana pelbagai aktiviti dijalankan bagi meningkatkan pengetahuan tentang persediaan untuk memasuki alam pekerjaan.
Acara ‘Groom Up! The Future is Ahead!’ dapat membuktikan kerjasama antara pelajar, badan akademik dan rakan kongsi industri dalam memberi impak yang ketara ke arah pembentukan graduan yang yakin dan kecergasan pasaran. – Lovenna Emelda