Campus

Karnival PROTEGE KUSKOP buka peluang kerjaya dan keusahawanan kepada belia

Gambar Hairul Nizam Zahari

SINTOK, 18 Jun 2025: Karnival PROTEGE@KUSKOP anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menjadi platform penting dalam melahirkan usahawan muda yang berdaya saing, sekali gus menyokong pembangunan ekonomi negara.

Ketua Setiausaha KUSKOP, Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud berkata, karnival ini bukan bersifat akademik semata-mata, sebaliknya membuka laluan kepada belia untuk menceburi bidang keusahawanan dengan bimbingan dan sokongan kerajaan.

“Tiada istilah tidak boleh berjaya. Pelbagai kemudahan telah disediakan oleh kerajaan untuk dimanfaatkan oleh anak muda,” katanya semasa merasmikan Majlis Perasmian Sempena Karnival PROTEGE@KUSKOP Zon Utara bagi tahun 2025 di Dewan Mu’adzam Shah, Universiti Utara Malaysia (UUM), semalam.

Khairul Dzaimee yang merupakan alumni UUM itu turut menekankan kepentingan penyertaan majikan dan usahawan dalam memberi pendedahan secara langsung kepada mahasiswa.

Karnival selama dua hari yang bermula semalam menghimpunkan 60 reruai pempamer daripada pelbagai agensi dan syarikat, serta menjadi sebahagian daripada empat siri program di seluruh negara meliputi Zon Utara, Selatan, Borneo Sarawak dan Borneo Sabah.

Sementara itu, Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, objektif utama karnival ini adalah untuk menjadi sebuah platform holistik yang menghimpunkan pelbagai inisiatif, peluang, pendedahan dan jaringan sokongan bagi mencorak hala tuju kerjaya generasi muda, sama ada dalam bentuk pekerjaan konvensional atau lebih penting lagi, melalui pemerkasaan semangat keusahawanan.

Menurutnya, aspirasi karnival ini juga adalah untuk mengubah minda mahasiswa dan belia agar tidak hanya melihat kerjaya dalam sektor awam atau swasta sebagai satu-satunya pilihan, tetapi sebaliknya menanam keyakinan bahawa diri mereka mampu menjadi pencipta peluang, bukan sekadar pencari peluang.

Katanya, universiti ingin melahirkan graduan berjiwa usahawan, bukan hanya dalam bidang perniagaan, tetapi dalam cara mereka berfikir, membuat keputusan, menyelesaikan masalah dan mencipta nilai dalam komuniti. Keusahawanan bukan lagi alternatif, ia adalah keperluan dalam ekosistem ekonomi moden, terutamanya dalam era pasca-pandemik dan Revolusi Industri 4.0 yang menuntut adaptasi, inovasi dan ketahanan.

“Sebagai institusi yang menekankan pendekatan ‘Universiti untuk semua’, UUM amat menghargai peluang untuk menjadi medan penyatuan antara dasar kementerian, aspirasi industri dan impian pelajar melalui platform seperti ini.

“Karnival yang berlangsung selama dua hari ini menampilkan pelbagai pengisian menarik yang menyasarkan golongan mahasiswa, graduan, alumni serta usahawan tempatan, selain penyertaan pelbagai agensi di bawah KUSKOP. Antara pengisian adalah Program Keusahawanan Bank Rakyat, sesi perkongsian khas bersama PERKESO, Seminar Keusahawanan oleh MAXIS, Sesi “Jom Jumpa PROTÉGÉ” dan temu duga terbuka oleh syarikat berprestij,” katanya.

Beliau berharap agar semua peserta karnival dapat memanfaatkan peluang yang ada, menjalin rangkaian dan merancang langkah ke hadapan sama ada dalam kerjaya, keusahawanan mahupun pembangunan diri.

Majlis turut menyaksikan penyampaian sijil penghargaan kepada wakil syarikat dan institusi pengajian tinggi, serta cabutan bertuah untuk peserta.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani; Pengarah CEDI, Prof. Madya Dr. Shazida Jan Mohd Khan dan pegawai-pegawai kanan UUM dan KUSKOP.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button