Campus

iFuture 2025 tekankan kepimpinan digital berteraskan nilai kemanusiaan

Gambar Shamsaimi Ezil

SINTOK, 19 Jun 2025: Sidang Kemuncak International Young Future Leaders Summit (iFuture) 2025 menjadi platform penting dalam melahirkan pemimpin masa depan yang celik digital serta menekankan nilai keterangkuman, kelestarian, dan kemanusiaan.

Pengarah Urusan KDEB Waste Management merangkap alumni Universiti Utara Malaysia (UUM), Dato’ Ramli Mohd Tahir, dalam ucaptama bertajuk “Leading with Vision: Shaping the Future Digital Leadership”, menyeru agar lahirnya pemimpin yang adaptif, beretika dan kompeten dalam konteks global.

Beliau turut berkongsi pengalamannya menerajui syarikat pembersihan terbesar negara yang mengurus kutipan sisa domestik hampir 10,000 tan setiap hari dengan kekuatan lebih 10,000 staf dan 1,500 trak.

Tugas ini, menurutnya, dijalankan setiap hari tanpa cuti kerana sebarang kegagalan akan memberi kesan berpanjangan.

“Sisa domestik bukan masalah, tetapi peluang. Saya berbangga memimpin syarikat ini selama 19 tahun,” katanya di Dewan Seminar A, Kompleks Konvensyen, hari ini.

Ramli juga menzahirkan penghargaan kepada UUM atas ilmu dan kemahiran yang membentuk asas kepimpinannya hari ini.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, tema tahun ini, “Mencipta Inovasi Masa Hadapan: Memperkasa Belia dan Era Digital”, mencerminkan keperluan mendesak dalam membina kepimpinan belia berasaskan teknologi dan nilai sejagat.

“Belia bukan sekadar pemimpin masa depan, tetapi pemimpin hari ini. Dunia digital bukan diwarisi, tetapi dibentuk oleh keberanian mereka,” katanya.

Persidangan diteruskan dengan sesi perkongsian bersama Pengarah Politeknik STIA LAN, Jakarta, Prof. Dr. Nurliah Nurdin dengan tajuk ‘Global Perspective on Leadership Development’, diikuti sesi kedua bersama Ketua Penolong Setiausaha Kanan, CEO Invest Pahang, Haslina Bahasan bertajuk ‘Cultivating Critical Leadership for a Changing World’.

Sesi ketiga bersama Ketua Jabatan Kerajaan Persekutuan, Paynet Malaysia, Nazry Budiman Moh Norden dengan tajuk ‘Harnessing Digital Innovation for Practical Impact’, seterusnya sesi terakhir bersama Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas PM GIFT, Owner The Lov Penang Hotel, Dato’ Sharifah Shareen Almashoor yang mengupas tajuk ‘Leadership in an AI Future’.

Program anjuran SELECT ini turut dihadiri oleh Dekan Hal Ehwal Pelajar, Prof. Madya Dr. Zainudin Omar; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Muhammad Iskandar Zulkarnain Muhammad Suhaimi dan pegawai-pegawai kanan UUM.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button