Campus

Pelajar asnaf SQS terima sumbangan komputer riba bernilai RM60,000

Gambar Muhammad Shamsul Shafie

SINTOK, 24 Jun 2025: Seramai 18 pelajar Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS) Universiti Utara Malaysia (UUM) hari ini telah menerima sumbangan komputer riba daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Dewan Seminar SQS.

Penyerahan komputer riba itu disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed dan Pengurus Besar TNB Kedah/Perlis, Wan Ishak Soed.

Dr. Ahmad Martadha dalam ucapannya berkata, UUM amat berbesar hati menerima sumbangan sebanyak RM60,000 bagi menyediakan 21 buah komputer riba untuk diserahkan kepada pelajar-pelajar asnaf yang memerlukan.

Menurutnya, sumbangan merupakan satu inisiatif yang amat bermakna kerana ia bukan sahaja membantu mengurangkan beban kewangan pelajar, malah menyediakan peluang yang lebih luas untuk mereka mengakses pembelajaran digital dengan lebih selesa dan berkesan.

Katanya, bantuan ini bertepatan dengan usaha bersama universiti dalam menyokong Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) ke-4: Pendidikan Berkualiti, di mana UUM komited untuk memastikan tiada pelajar yang terpinggir daripada keperluan asas sepanjang pengajian mereka.

“Kerjasama erat antara SQS, UUM dan TNB bukanlah sesuatu yang baharu. Sejak tahun 2022, hubungan strategik yang terjalin telah menghasilkan pelbagai program dan inisiatif yang memberi kesan langsung kepada kesejahteraan pelajar dan komuniti sekeliling.

“Sumbangan berterusan daripada TNB membuktikan komitmen TNB dalam memacu pembangunan pendidikan dan kebajikan sosial, malah kerjasama ini tidak terhad kepada aspek sumbangan material sahaja, tetapi turut melibatkan perkongsian kepakaran, penganjuran program pembangunan pelajar, serta penglibatan TNB dalam membina jaringan industri yang mampan bersama universiti,” katanya pada Majlis Penyerahan Sumbangan Komputer Riba oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Dr. Ahmad Martadha berkata, UUM amat menghargai kesediaan TNB untuk terus menjadi rakan strategik yang aktif dalam membina masa depan yang lebih cerah untuk pelajar dan berharap agar kerjasama ini akan terus diperkukuhkan dan diperluaskan pada masa akan datang melalui lebih banyak usahasama yang menyokong agenda pembangunan lestari dan kesejahteraan bersama.

Sementara itu, Wan Ishak berkata, TNB sebagai syarikat yang membekalkan tenaga elektrik serta perlu menjana pendapatan tidak pernah melupakan untuk membantu rakan-rakan di IPTA termasuk UUM dari aspek keprihatinan.

Menurutnya, kolaborasi antaar SQS, UUM dan TNB akan diteruskan mengikut teras program tanggungjawab korporat (CSR) berdasarkan lima teras iaitu pendidikan, kebajikan, alam sekitar, sosial dan sukan.

Katanya, meskipun TNB merupakan syarikat perniagaan tetapi hampir 60 peratus pulangan diterima TNB dipulangkan kembali kepada rakyat menerusi pelbagai program CSR.

“Saya berharap komputer riba yang diberikan ini akan diguna sebaik mungkin untuk belajar dan menyiapkan tugasan,” katanya.

Penerima, Siti Noor Haryani Jamaludin, pelajar Semester 4, Ijazah Sarjana Muda Matematik Perniagaan merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada SQS dan TNb yang menyalurkan sumbangan komputer riba hari ini.

Menurutnya, dia sangat gembira kerana akhirnya menerima bantuan tersebut pada saat diperlukan kerana komputer riba sedia ada sudah berusia lebih tujuh tahun dan perlu di cas setiap kali menggunanya.

“Saya sekarang guna komputer riba kakak dan memang agak sukar terutamanya apabila bekalan eletrik terputus ketika menyiapkan tugasan,” kata anak bongsu daripada 10 beradik itu.

Majlis turut menyaksikan penyerahan sumbangan dari TNB sebanyak RM5,000 untuk penganjuran Projek STEM Camp dan RM5,000 bagi projek Food Bank untuk pelajar SQS.

Hadir sama, Dekan SQS, Prof. Dr. Haslinda Ibrahim; Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Dr. Sahubar Ali Mohamed Nadhar Khan dan pegawai-pegawai kanan SQS.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button