SOC perkukuh kerjasama ICT serantau melalui Mesyuarat MaDICT
Gambar Noor Aina Nordin
SINTOK, 24 Jun 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC) telah diberi penghormatan menjadi tuan rumah bagi Mesyuarat Majlis Dekan ICT (MaDICT) Bil. 2/2025 yang berlangsung pada 19 dan 20 Jun lalu.
Mesyuarat ini melibatkan penyertaan seramai 30 ahli yang terdiri daripada Dekan Fakulti ICT dari Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS) seluruh Malaysia. Turut hadir ialah Pengarah Bahagian Kecemerlangan Akademik, Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Prof. Madya Dr. Azidah Abu Ziden.
Mesyuarat yang berlangsung di SOC pada 19 Jun lalu, kemudian bersambung dengan progres perbincangan di Prince of Songkla University (PSU), Thailand pada 20 Jun.
Perbincangan utama mesyuarat ini memberi tumpuan kepada usaha memperkasa kepimpinan digital ASEAN melalui kerjasama pendidikan dan inovasi ICT berteraskan tema “Advancing ASEAN Digital Leadership through Collaborative ICT Education and Innovation”.
Presiden MaDICT, Prof. Ts. Dr. Wan Mohd Nasir Wan Kadir dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, kerjasama serantau dalam bidang ICT perlu diperkukuhkan demi membina ekosistem digital yang berdaya tahan, inovatif dan inklusif.
Menurutnya, usaha kolaboratif ini bukan sahaja dapat memberi manfaat kepada pelajar dan tenaga pengajar, malah mampu menyumbang kepada pembangunan teknologi serantau yang mampan.
Turut menyokong pandangan tersebut, Prof. Dr. Pichaya Tandayya dari PSU menekankan kepentingan hubungan dua hala antara institusi pendidikan tinggi Malaysia dan Thailand bagi memperluaskan pengetahuan, kepakaran serta pemikiran pelajar ke arah melahirkan pemimpin digital ASEAN yang berdaya saing.
Mesyuarat ini turut membuka ruang perbincangan mengenai pertukaran pelajar dan penyelidik, pembangunan kurikulum bersama serta pelaksanaan projek penyelidikan rentas sempadan yang dijangka memberi impak positif kepada ekosistem pendidikan ICT di peringkat ASEAN. – Muhamad Nazir Hamzah