Kembara Suai Kenal Bersama SLCP pupuk ukhwah, kecekapan diri dan cinta alam
Berita dan gambar Dr. Naizatul Akma Mohd Mokhtar
SINTOK, 1 Julai 2025: Kembara Suai Kenal Bersama SLCP di Hutan Sintok telah dilaksanakan dengan penyertaan kira-kira 40 pelajar daripada pelbagai program di bawah Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), Universiti Utara Malaysia (UUM).
Program ini dianjurkan oleh Jawatankuasa Pembangunan Pelajar dan Alumni SLCP dengan kerjasama empat persatuan pelajar iaitu Persatuan KERSANI, ALBUS, Persatuan Sejarah Gunaan dan Persatuan Linguistscape.
Pengarah Program, Dr. Yusri Sulaiman berkata, program ini bertujuan untuk memperkukuh hubungan ukhwah dalam kalangan pelajar SLCP tanpa mengira jurusan atau peringkat pengajian, di samping memupuk kesedaran terhadap kepentingan kecergasan fizikal, kesejahteraan mental dan kelestarian alam sekitar.
Menurutnya, melalui aktiviti berbentuk pengembaraan dan riadah santai ini, peserta diberi peluang untuk menghayati nilai-nilai kerjasama, semangat komuniti, serta cinta terhadap alam semula jadi melalui pendekatan pengalaman langsung (experiential learning).
“Program ini merupakan platform terbaik untuk membina semangat kolektif dan perpaduan. Melalui aktiviti riadah ini, pelajar bukan sahaja dapat mengenali antara satu sama lain, tetapi juga belajar untuk saling menyokong dan bekerjasama dalam menghadapi cabaran,” katanya.
Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah senaman ringan dan kembara denai hutan. Lokasi hutan Sintok yang kaya dengan biodiversiti telah menjadi latar yang ideal untuk menanamkan kesedaran tentang pentingnya memelihara alam sekitar sebagai sebahagian daripada identiti dan tanggungjawab sivik mahasiswa.
Ketua Jawatankuasa Pelajar Program, Muhammad Najmudin Nadzri berkata, dia melihat program ini sebagai satu pengalaman bermakna yang membuka peluang kepada pelajar baharu untuk membina hubungan dengan pelajar senior dan menyesuaikan diri dengan persekitaran kampus.
“Program ini sangat membantu saya dan rakan-rakan untuk mengenali pelajar senior serta memahami budaya akademik SLCP dengan lebih dekat.
“Selain itu, kami juga berpeluang menikmati keindahan semula jadi UUM yang selama ini hanya kami dengar secara teori,” katanya.
Program ini bukan sekadar wadah untuk berkenalan dan beriadah, tetapi merupakan platform pembelajaran luar bilik kuliah yang berkesan dalam membina jati diri, ketahanan mental serta kemahiran sosial dalam kalangan pelajar.
Peserta turut menyatakan rasa teruja dan berpuas hati dengan penganjuran program yang memberi peluang untuk mengenali rakan-rakan baharu, memupuk semangat kebersamaan serta menghayati keindahan alam semula jadi kampus.