Naib Canselor UUM kongsi inisiatif Kampung Angkat MADANI di KEDAHfm
Gambar Hairul Nizam Zahari
ALOR SETAR, 1 Julai 2025: Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dato’ Dr. Mohd. Foad Sakdan, menjadi tetamu jemputan di konti KEDAHfm bersama penyampai DJ CTZ sempena Program Kampung Angkat MADANI UUM 2025.
Dalam sesi temu bual di RTM Kedah itu, beliau menzahirkan penghargaan atas peluang yang diberikan untuk berkongsi inisiatif terkini universiti bersama para pendengar.
Beliau turut menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, dalam ucapan Belanjawan 2025 yang mengumumkan peluasan pelaksanaan Program Kampung Angkat MADANI, yang diperkenalkan sejak 2024.
Menurut Prof. Dr. Mohd. Foad, UUM amat berbesar hati apabila permohonan universiti untuk melaksanakan program ini bagi tahun 2025 telah diluluskan dengan sokongan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF).
Kampung Tengah, Kuala Kedah dipilih sebagai lokasi pelaksanaan program, dengan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi melaksanakan pelbagai inisiatif yang memberi manfaat secara langsung kepada komuniti setempat.
Beliau turut menyatakan harapan agar Program Kampung Angkat MADANI UUM 2025 dapat menjadi model rujukan kepada universiti lain dan menyumbang kepada pembangunan insan dan komuniti secara menyeluruh pada masa hadapan. – Nurul Hana Ahmad (Pelajar Pelatih dari USIM)