UUM bantu pelajar cemerlang 10A sambung belajar
Gambar Ihsan JHEP
SINTOK, 2 Julai 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) menzahirkan keprihatinan terhadap nasib seorang pelajar cemerlang, Siti Nur Aisyah Mat Nawi, 18, yang meraih keputusan 10A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini, namun hampir terpaksa melupakan hasrat melanjutkan pelajaran kerana kekangan kewangan.
Menyedari kesukaran yang dihadapi remaja berkenaan, UUM tampil memberikan pelbagai bentuk bantuan kewangan dan keperluan pengajian bagi membolehkan beliau meneruskan impian melanjutkan pengajian ke peringkat Asasi di universiti berkenaan.
Kisah menyayat hati Siti Nur Aisyah, anak bongsu daripada tiga beradik yang kehilangan bapa, tular di media sosial selepas beliau dikatakan buntu untuk mendapatkan duit bagi menyambung pelajaran kerana kesempitan hidup yang dihadapi keluarganya.
Prihatin dengan nasib Aisyah, satu lawatan khas telah diadakan ke kediamannya oleh delegasi UUM yang diketuai oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed. Turut serta dalam lawatan itu ialah barisan kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UUM termasuk Yang Dipertua, Mohamad Amar Aidid Mohd Zain; Setiausaha Agung, Nurulain Nabila Mohd Hanif; dan Timbalan Naib Yang Dipertua, Nur Anissa Adyani Mohd Norhisham.
Dr. Ahmad Martadha berkata, bantuan yang disalurkan oleh UUM termasuklah pembiayaan penuh yuran pengajian, pemberian sebuah komputer riba, kemudahan perjalanan ke kampus untuk urusan pendaftaran, penginapan sementara bagi keluarga, serta bantuan kewangan tambahan.
“Universiti amat prihatin terhadap kebajikan pelajar, lebih-lebih lagi mereka yang berpotensi besar tetapi berdepan kekangan kewangan.
“Aisyah merupakan simbol harapan dan ketabahan generasi muda. Kami mahu memastikan tiada pelajar tercicir hanya kerana kesempitan hidup,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, YDP MPP UUM, Mohamad Amar Aidid berkata, bantuan ini diharap menjadi pembakar semangat kepada Aisyah untuk terus melangkah maju dalam bidang akademik dan mencapai kejayaan lebih tinggi.
Lawatan turut disertai Ketua UMNO Bahagian Rantau Panjang, Datuk Akbar Salim bersama kepimpinan Pergerakan Puteri UMNO bahagian tersebut.
Datuk Akbar turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada Aisyah dan memaklumkan bahawa bantuan berterusan akan disalurkan kepada beliau menerusi Puteri UMNO sepanjang tempoh pengajiannya.
Langkah ini mencerminkan kerjasama pelbagai pihak dalam membantu pelajar berpotensi tinggi merealisasikan impian mereka, tanpa menjadikan faktor kewangan sebagai penghalang utama.
Aisyah yang kelihatan terharu dengan bantuan yang diterima mengucapkan rasa syukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang prihatin terhadap nasibnya.
“Saya berjanji akan belajar bersungguh-sungguh dan tidak akan mensia-siakan peluang yang diberikan. Terima kasih kepada UUM dan semua yang membantu,” katanya.