Maybank Classroom Takeover perkasa kemahiran insaniah pelajar UUM
Berita dan gambar Siti Nazirah Jaya
SINTOK, 3 Julai 2025: Malayan Banking Berhad (Maybank), dengan kerjasama Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC) Universiti Utara Malaysia (UUM), sekali lagi menganjurkan program Classroom Takeover selama satu hari di kampus UUM.
Program tahunan yang dinanti-nantikan ini melibatkan seramai 124 pelajar daripada tiga kelas berbeza, memberi mereka peluang untuk mengalami pembelajaran praktikal berasaskan simulasi dunia pekerjaan sebenar. Pelbagai aktiviti telah direka khas bagi memupuk kemahiran penting seperti komunikasi berkesan, kerjasama dalam kumpulan, pemikiran kritis serta keupayaan menyelesaikan masalah secara kreatif.
Pengarah CUIC , Prof. Dr. Chandrakantan Subramaniam berkata, program ini memberi ruang kepada pelajar untuk meningkatkan kemahiran insaniah secara praktikal, sesuatu yang sangat penting dalam menghadapi cabaran dunia profesional yang sentiasa berubah.
Menurutnya, inisiatif ini bertujuan memperkasakan kemahiran insaniah pelajar melalui aktiviti interaktif dan bimbingan langsung daripada para profesional industri.
Katanya, hasil maklum balas yang diterima menunjukkan bahawa rata-rata pelajar melaporkan peningkatan tahap keyakinan diri, terutamanya dalam aspek komunikasi dan penyelesaian masalah, selepas menyertai bengkel dan aktiviti hands-on yang dijalankan.
“Program ini sekali gus mengukuhkan komitmen UUM dalam menyediakan ekosistem pembelajaran yang holistik dan berpaksikan kerjasama erat dengan industri.
“UUM akan terus menjalinkan hubungan strategik bersama pihak industri, termasuk Maybank, dalam usaha memperluas pelaksanaan program Maybank Classroom Takeover dan seumpamanya. Usaha ini selaras dengan matlamat universiti untuk melengkapkan pelajar dengan pengetahuan serta kemahiran yang relevan dan kompetitif di pasaran kerja semasa,” katanya.
Program ini bukan sekadar pengisian akademik, malah merupakan platform transformatif yang menjadikan pelajar lebih bersedia untuk alam pekerjaan, lebih adaptif serta memiliki daya pemikiran inovatif. Dengan sokongan berterusan daripada pihak Maybank serta penyelarasan efektif oleh CUIC, kolaborasi ini jelas menunjukkan satu bentuk pelaburan jangka panjang dalam pembangunan bakat generasi masa hadapan.