General

Naib Canselor UUM redah Kampung Tengah naik motosikal demi Ziarah Kasih Kampung Angkat MADANI

Gambar Muhammad Shamsul Shafie

KUALA KEDAH, 5 Julai 2025: Menyahut peranan sebagai universiti bermasyarakat, berjiwa rakyat dan berpaksikan nilai-nilai kemanusiaan sejagat, Universiti Utara Malaysia (UUM) telah melaksanakan program Ziarah Kasih sempena inisiatif Kampung Angkat MADANI UUM di Kampung Tengah, semalam.

Dalam cuaca panas terik, Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan sanggup membonceng motosikal meredah kampung demi menyantuni tiga rumah penduduk terpilih.

Beliau menyampaikan sumbangan berupa kotak barangan keperluan harian, termasuk makanan kepada mereka yang memerlukan.

Antara yang dilawati Naib Canselor UUM ialah Shamsuddin Othman, 65, menerima sumbangan katil pesakit, manakala Sofiah Lazim, 71, menerima sumbangan kerusi roda.

Dr. Mohd Foad berkata, program Ziarah Kasih yang dilaksanakan di bawah agenda Kampung Angkat MADANI ini bertujuan memastikan akses kemudahan dan bantuan dapat disalurkan secara langsung kepada penduduk Kampung Tengah, khususnya golongan yang memerlukan.

“Melalui pendekatan ini, UUM menzahirkan keprihatinan dan komitmen terhadap kelompok masyarakat yang kurang bernasib baik.

“Inisiatif ini merupakan manifestasi kesungguhan universiti dalam menjayakan agenda Kampung Angkat MADANI secara holistik di Kampung Tengah,” katanya.

Beliau berharap agar semua pihak dapat bersama-sama mendukung semangat perpaduan, keterangkuman dan pembangunan sejahtera demi sebuah negara yang lebih harmoni dan lestari.

Turut serta, Ahli Lembaga Pengarah UUM Holdings, Dato’ Abdul Muthalib Harun dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed serta Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UUM, Mohamad Amar Aidid Mohd Zain.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button