Lawatan penanda aras IIUM-DeBA Ke UUMKL erat jalinan kerjasama ilmiah
Gambar Muhammad Rashid Khair
KUALA LUMPUR, 6 Julai 2025: Universiti Utara Malaysia Kampus Kuala Lumpur (UUMKL) telah menerima kunjungan hormat daripada delegasi Jabatan Pentadbiran Perniagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM-DeBA) pada Rabu lalu dalam satu sesi lawatan penanda aras dan akademik.
Delegasi IIUM-DeBA diketuai oleh Ketua Jabatan, Prof. Madya. Dr. Wan Rohaida Wan Husain berserta pensyarah kanan UIAM. Turut hadir dalam sesi ini ialah Provos UUMKL, Prof. Dr. Norlena Hasnan, dekan akademik, pensyarah dan pegawai pentadbiran UUMKL.
Dr. Norlena Hasnan berkata, UUMKL amat menghargai kunjungan daripada rakan-rakan akademik UIAM dan berharap agar program sebegini dapat menjadi medium penting dalam memupuk hubungan antara institusi, bukan sahaja dari segi akademik tetapi juga dalam memperluas jaringan kolaborasi.
Sementara itu, Dr. Wan Rohaida berkata, lawatan ini bertujuan untuk meninjau pelaksanaan amalan terbaik dalam aspek pengurusan akademik dan pentadbiran, selain membuka ruang kolaborasi antara institusi bagi penganjuran program bersama dan penyelidikan.
Dalam sesi perbincangan dua hala, kedua-dua institusi berkongsi amalan terbaik dalam pelaksanaan program pascasiswazah, strategi pengantarabangsaan dan pembangunan sumber manusia akademik.
Delegasi turut dibawa melawat fasiliti UUMKL serta diberikan taklimat berkenaan program-program yang ditawarkan di kampus bandar ini.
Sesi perbincangan dua hala turut menyentuh perancangan kerjasama jangka panjang antara kedua-dua institusi
UUMKL mengalu-alukan lawatan seperti ini sebagai platform memperkukuh hubungan strategik antara institusi, sejajar dengan aspirasi universiti untuk menjadi hab kecemerlangan akademik dan penyelidikan di peringkat serantau. – Nur Afiqah Abu Bakar