Campus

Usaha penaiktarafan IJZIP ke arah MyCite diperkukuh menerusi perbincangan bersama UUM Press

Gambar Azimah Ahmad

SINTOK, 6 Julai 2025: Sesi perbincangan telah diadakan di Bilik Mesyuarat Dato’ Abdullah Hussain, UUM Press bagi membincangkan usaha penaiktarafan International Journal of Zakat and Islamic Philanthropy (IJZIP) ke arah pengindeksan dalam pangkalan data Malaysian Citation Index (MyCite).

Perbincangan ini melibatkan kerjasama strategik antara Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Institut Penyelidikan dan Inovasi Zakat (IPIZ), dan UUM Press.

Delegasi LZNK diketuai oleh Pengarah Pusat Kajian dan Pengantarabangsaan Zakat Kedah, Dr. Hafizah Zainal, Manakala IPIZ pula diwakili oleh Penyelaras IPIZ, Dr. Nor Syahidah Ishak serta dua editor IJZIP, iaitu Prof. Madya Dr. Azizah Othman dan Dr. Amirul Faiz Osman.

Taklimat telah disampaikan oleh Nor Arpizah Atan dan Che Mohamad Khairul Hakiman Ab Rahman daripada Seksyen Penerbitan Jurnal, UUM Press.

Sesi perbincangan berlangsung dalam suasana terbuka dan konstruktif, dimulakan dengan pembentangan isu serta cabaran yang dihadapi oleh LZNK dalam pengurusan semasa jurnal IJZIP.

Pihak UUM Press kemudiannya berkongsi pandangan serta cadangan penambahbaikan merangkumi aspek teknikal penerbitan, pengurusan editorial yang lebih sistematik, serta penggunaan sistem penerbitan dalam talian yang lebih efisien.

Perkongsian yang diberikan dianggap amat signifikan dalam memperkukuh landasan IJZIP ke arah pematuhan piawaian pengindeksan MyCite. Beberapa cadangan strategik telah dikenal pasti sebagai tindakan susulan yang akan dilaksanakan secara berperingkat oleh pihak pengurusan jurnal.

Perbincangan ini diharap menjadi titik tolak kepada peningkatan kualiti pengurusan dan penyampaian IJZIP secara menyeluruh, sekali gus melayakkannya untuk disenaraikan sebagai salah satu jurnal berindeks dalam pangkalan data MyCite pada masa akan datang. – Amierul Firdaus Nabil Azmi

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button