General

SOE UUM dan YIK perkukuh agenda pendidikan rabbani

Berita dan gambar Muhd Zulhilmi Haron

KOTA BHARU, 8 Julai 2025: Pusat Pengajian Pendidikan (SOE), Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperluas jaringan strategik pendidikan melalui kunjungan hormat ke Pejabat Pengarah Yayasan Islam Kelantan (YIK) yang berlangsung pada 25 Jun lalu di Bilik Mesyuarat Utama, Kompleks Pentadbiran YIK.

Delegasi SOE yang diketuai oleh Dekan SOE, Prof. Madya Dr. Mohamad Khairi Othman bersama beberapa penjawat hadir dalam sesi pertemuan tersebut yang bertujuan memperkukuh jalinan kerjasama dua hala dalam bidang pendidikan Islam, pembangunan profesionalisme pendidik dan peluang latihan lanjutan kepada warga YIK.

Dalam ucapan alu-aluan, Pengarah YIK, Zulkifle Ab Rahman menyambut baik usaha kolaboratif ini dan menyatakan bahawa YIK komited untuk terus memperkasa pendidikan Islam melalui jaringan strategik bersama universiti awam seperti UUM.

Beliau turut menegaskan bahawa kerjasama ini selari dengan matlamat YIK untuk melahirkan generasi pendidik dan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dari sudut akademik, malah memiliki jati diri rabbani yang kukuh sesuai dengan keperluan semasa pendidikan Islam negeri Kelantan

Kunjungan ini turut membuka ruang bagi perbincangan awal berkenaan pelaksanaan program akademik seperti Sarjana Pendidikan (M.Ed), Sarjana Pengurusan Pendidikan (M.Sc), Doktor Falsafah (Ph.D), Kedoktoran Pendidikan (Ed.D) dan penempatan praktikum keguruan pelajar program Diploma Pascasiswazah Lepasan Ijazah (PGDE) yang relevan dengan keperluan pembangunan sumber manusia di sekolah-sekolah YIK.

Potensi penganjuran kursus profesional pendek seperti pengurusan kurikulum, kepimpinan pendidikan Islam, dan pedagogi kontemporari ini turut dijangka menjadi antara fokus strategik pada masa akan datang.

Sementara itu, Dr. Mohamad Khairi dalam sesi tersebut menegaskan komitmen SOE UUM dalam menyokong YIK membina ekosistem pendidikan Islam yang mampan dan berimpak tinggi melalui kerjasama jangka panjang yang bersifat dua hala serta berteraskan keperluan sebenar lapangan.

“YIK merupakan institusi pendidikan Islam yang mempunyai sejarah dan sistem tersendiri dalam mencorak pendidikan negeri. Dengan jalinan strategik ini, kami percaya ia akan memperkayakan wacana pendidikan Islam serta meluaskan capaian program UUM ke peringkat akar umbi,” katanya.

Kunjungan ini diakhiri dengan sesi bergambar serta perbincangan awal ke arah pemetaan bentuk kolaborasi yang lebih tersusun dan inklusif.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button