Mahasiswa Inasis MISC santuni pelajar SMK Kuala Balah
Berita dan gambar Nur Athirah Aduka
SINTOK, 8 Julai 2025: Biro Latihan dan Akademik di bawah Jawatankuasa Kepimpinan dan Pembangunan Siswa (JKPS), Inapan Siswa (INASIS) MISC, Universiti Utara Malaysia (UUM) telah berjaya menganjurkan Program Next Wave University Explore selama tiga hari dua malam bermula 24 hingga 26 Jun 2025.
Program ini telah menghimpunkan seramai 39 orang pelajar bersama empat guru pengiring dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Balah, Jeli, Kelantan, dengan sokongan padu daripada 30 orang ahli jawatankuasa pelaksana yang telah bertungkus lumus memastikan kelancaran keseluruhan program.
Menurut Pengarah Program, Siti Nur Balqis binti Khairil Mohafiz, objektif utama penganjuran adalah untuk membuka minda pelajar sekolah menengah terhadap suasana pembelajaran dan kehidupan kampus di universiti.
“Selain pendedahan kepada dunia kampus, program ini juga berperanan membina keyakinan diri, mengasah kemahiran komunikasi serta menanam nilai kepimpinan yang dapat membentuk keperibadian positif dalam kalangan pelajar. Inisiatif sebegini diyakini mampu memberi dorongan dan membangkitkan semangat pelajar SPM untuk terus melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi,” jelasnya.
Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti menarik dan bermanfaat telah dijalankan termasuk senamrobik, aktiviti treasure hunt bagi mengasah pemikiran kritikal serta lawatan ilmiah ke beberapa lokasi tarikan di UUM seperti School of Business, Perpustakaan Sultanah Bahiyah, Muzium Pengurusan dan Padang Golf UUM.
Pelajar turut berpeluang mendengar sesi perkongsian maklumat berkaitan laluan pengajian selepas SPM bersama Timbalan Naib Yang Dipertua Akademik Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UUM serta menikmati pengalaman bermain golf bersama ketua jurulatih golf profesional.
Lebih menarik, para peserta dan jawatankuasa turut menikmati 100 cawan air coklat percuma hasil kolaborasi antara Kafe Eman dan INASIS MISC, menjadikan pengalaman ini lebih istimewa dan mesra komuniti.
Program berakhir dengan majlis penutup yang turut diserikan dengan ucapan penghargaan daripada Pengetua SMK Kuala Balah, Encik Mahadi bin Yaakob yang memuji penganjuran program yang teratur dan berimpak.
Kejayaan penganjuran Next Wave University Explore diharap dapat menjadi pemangkin semangat pelajar untuk terus menimba ilmu, membina sahsiah diri yang cemerlang serta melangkah lebih jauh dalam dunia pendidikan.