Campus

10 usahawan siswa UUM terima geran perniagaan KKS bernilai RM10,000

Berita dan gambar Suhaida Azmi

SINTOK, 9 Julai 2025 – Seramai 10 orang usahawan siswa dari pelbagai jurusan Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menerima geran perniagaan berjumlah RM1,000 setiap seorang menerusi Program Kursus Keusahawanan Siswazah (KKS) dalam satu majlis yang berlangsung di Dewan Seminar C, Pusat Konvensyen UUM, baru-baru ini.

Majlis penyerahan geran tersebut telah disempurnakan oleh Dekan Hal Ehwal Pelajar, Prof. Madya Dr. Zainudin Omar. Turut hadir, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar, para dekan pusat pengajian serta pengetua Inapan Siswa (INASIS) yang terlibat.

Kursus Keusahawanan Siswazah (KKS) merupakan satu inisiatif penting dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah memiliki jati diri sebagai usahawan berilmu, beretika dan berdaya saing.

Kursus yang telah berlangsung selama 12 minggu ini mendedahkan pelajar kepada pelbagai aspek dalam memulakan dan mengurus perniagaan termasuk penyediaan rancangan perniagaan, pemasaran digital, pengurusan kewangan serta latihan praktikal di lapangan.

Selain itu, kursus ini juga berupaya meningkatkan minat pelajar untuk menceburi bidang keusahawanan. Pemberian geran perniagaan seumpama ini, bersama bimbingan langsung daripada tenaga pengajar berpengalaman, mampu membantu usahawan pelajar dalam memulakan serta mengembangkan perniagaan sedia ada.

Menurut Pengarah Pusat Pembangunan Keusahawanan Siswa (PPKS), Tuan Haji Fadzil Mohd Husin, pihaknya akan memperbanyakkan lagi penganjuran program keusahawanan seumpama ini agar lebih ramai usahawan pelajar dapat memperoleh manfaat.

Langkah ini juga selaras dengan hasrat universiti dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk menjadikan agenda keusahawanan sebagai salah satu elemen utama dalam melahirkan graduan yang berilmu, berdaya saing, inovatif serta berupaya mencipta pekerjaan sendiri.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button