Campus

Naib Canselor cabar pelajar baharu asasi UUM capai PMS 3.50

Oleh: Zulaidah Mat Said

Gambar: Muhammad Shamsul Shafie

SINTOK, 9 Julai 2025: Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan mencabar semua pelajar baharu Program Asasi Pengurusan kohort ke-12 untuk menjadikan pencapaian Purata Mata Semester (PMS) minimum 3.50 sebagai matlamat utama sepanjang pengajian mereka.

Menurutnya, pencapaian PMS yang tinggi membuka lebih banyak peluang kepada pelajar untuk memilih kursus yang lebih kompetitif, termasuk program profesional seperti Sarjana Muda Perakaunan dan Undang-Undang di UUM.

Beliau menegaskan bahawa hanya dengan ilmu, komitmen dan tekad yang tinggi, pelajar mampu menempuh cabaran akademik dan membina masa depan cemerlang di universiti pengurusan terkemuka negara ini.

“Dayung sudah di tangan, maka bersama-sama kita menuju kejayaan dan UUM akan sedia membantu ke arah matlamat.

“Sudah-sudahlah berfikir untuk berpindah (ke universiti lain), bulatkan hati dan jitukan jiwa anda bersama UUM,” katanya.

Beliau berucap demikian semasa Majlis Ikrar Minggu Suai Kenal Semester Kedua Sesi 2025/2026 pelajar baharu Program Asasi Pengurusan Kohort Ke-12 yang berlangsung di Dewan Seminar A, Pusat Konvensyen UUM.

Majlis ikrar itu diketuai oleh pelajar, Ahmad Khidir Ahmad Nazri, yang melafazkan ikrar di hadapan Naib Canselor dan barisan pegawai kanan universiti.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Ram Al Jaffri Saad; Pengarah Pusat Asasi Pengurusan, Prof. Dr. Muhammad Fuad Othman dan Pendaftar, Ahmad Rasidi Abdullah.

Dr. Mohd Foad turut mengajak pelajar baharu agar memanfaatkan peluang pengajian di UUM dengan sebaiknya serta menjadikan slogan “Ilmu, Budi dan Bakti” sebagai prinsip hidup sepanjang berada di universiti.

“Program Asasi Pengurusan selama dua semester ini memerlukan komitmen tinggi, khususnya dalam menyiapkan 14 kursus dalam tempoh setahun. Saya berharap para pelajar hadir ke kuliah, menyiapkan tugasan serta sentiasa mendapatkan bimbingan pensyarah,” ujarnya.

Sementara itu, wakil pelajar, Ammar Muhammad Mohd Farizal, berkata penganjuran Minggu Suai Kenal berjaya mendorong pelajar untuk saling mengenali di samping mencungkil bakat serta memupuk sifat kepimpinan dalam diri masing-masing.

Menurutnya, pelbagai aktiviti yang dijalankan sepanjang minggu tersebut bukan sahaja mempererat hubungan sesama pelajar, malah turut memberi ruang untuk mereka menonjolkan potensi diri dalam suasana yang menyeronokkan dan membina.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button