UUM bentang pencapaian Pelan Strategik Sukuan Kedua 2025
Fokus kepada penyelidikan dan penglibatan komuniti, industri
Gambar Mohd Fuad Hamid
SINTOK, 10 Julai 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) membentangkan pencapaian Pelan Strategik universiti bagi sukuan kedua (Januari–Jun) 2025 di EDC-UUM, hari ini.
Pembentangan tersebut bertujuan menilai kemajuan pelaksanaan inisiatif strategik selaras dengan aspirasi universiti untuk menjadi Universiti Pengurusan Terkemuka.
Majlis ini turut disertai oleh barisan pengurusan tertinggi universiti, ketua pusat tanggungjawab, dekan pusat pengajian, serta wakil yang bersama-sama meneliti prestasi semasa serta cabaran dalam mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan.
Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan, menegaskan bahawa universiti komited memastikan setiap strategi yang digariskan memberikan impak signifikan, khususnya dalam bidang akademik, penyelidikan, penglibatan komuniti dan industri, kewangan, perkhidmatan serta pembangunan graduan holistik.
Menurutnya, pencapaian pelan strategik merupakan panduan penting untuk diteliti secara berkala. Sebarang isu atau kelemahan yang dikenal pasti perlu diberi perhatian segera dan ditangani secara proaktif.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga UUM atas usaha gigih yang membawa universiti ke kelompok 500 universiti terbaik dunia dalam QS World University Rankings 2026.
Menurutnya, pencapaian ini merupakan satu amanah dan tanggungjawab untuk kita kekalkan pada tahun 2027.
“Tambahan pula, pelan strategik ini sangat penting kerana ia selari dengan hala tuju universiti dan akan dinilai berdasarkan 10 indikator utama dalam peningkatan tersebut.
“Bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, sebanyak 154 petunjuk prestasi telah ditetapkan. Daripada jumlah itu, 100 telah berjaya dicapai, 24 berada pada tahap separa pencapaian, manakala 30 lagi masih belum dicapai. Oleh itu, saya mahu kita memberi fokus kepada petunjuk berstatus kuning (Teras 2 dan 3) agar peningkatan prestasi dapat dilihat dalam suku ketiga dan keempat nanti,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Perancangan dan Prestasi Korporat (BPPK), Prof. Dr. Nor Aziah Abd Manaf telah membentangkan pencapaian KPI universiti bagi suku kedua (Q2) 2025.
Secara keseluruhan, pencapaian KPI bagi suku kedua menunjukkan 59.74 peratus berada pada warna biru (melebihi 91), 5.19 peratus pada warna hijau, 7.79 peratus melibatkan warna kuning, oren dan merah, 11.69 peratus berstatus hitam (di bawah 20.99).
Mengikut pencapaian setiap teras pula Teras 1 (30 PI) mencapai 50 peratus, Teras 2 (30 PI): 4peratus , Teras 3 (21 PI): 71 peratus, Teras 4 (28 PI): 57 peratus, Teras 5 (21 PI): 67 peratus dan Teras 6 (24 PI): 83 peratus.
Gred Purata (GPA) bagi suku kedua pula mencatatkan Teras 1: 4.00, Teras 2: 2.61, Teras 3: 2.85, Teras 4: 3.47, Teras 5: 4.00 dan Teras 6: 4.00.
Secara keseluruhan, GPA suku kedua 2025 ialah 3.45, bagaimanapun menunjukkan sedikit penurunan berbanding GPA suku kedua 2024 yang berjumlah 3.78.
Majlis turut menyaksikan pembentangan pencapaian petunjuk prestasi mengikut teras dan pelaporan Signature Program/LHPT bagi tempoh Januari hingga Jun 2025.
Sebagai penghargaan kepada sumbangan cemerlang warga universiti, turut diadakan Majlis Apresiasi Pelan Strategik UUM 2024, yang menyaksikan penyampaian anugerah oleh Naib Canselor kepada 40 penerima.
Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Ram Al Jaffri Saad serta Pendaftar, Ahmad Rasidi Abdullah.