Campus

Alumni SME Bank seru mahasiswa UUM rancang kewangan seawal mungkin

Berita dan gambar Amirulhafez Abdullah

Kuala Lumpur, 1 Julai 2025: Ruang mesyuarat SME Bank bertukar menjadi arena pembelajaran interaktif apabila alumni UUM yang berjaya dalam sektor kewangan berkongsi strategi pembangunan kerjaya dan pengurusan kewangan peribadi. Sesi eksklusif ini menutup tirai Program Halatuju Mahasiswa dua hari yang telah memberi impak mendalam kepada 50 peserta dari UUM.

Perkongsian daripada alumni UUM, Sarjana Muda Sains dalam Ekonomi, Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan tahun 2021 memberikan panduan praktikal dalam pembangunan kerjaya dalam sektor kewangan dan perniagaan.

Sesi yang disampaikan oleh Encik Ahmad Murad Mohd, Eksekutif Kanan Bahagian Sumber Manusia (Pembangunan Organisasi & Pelaporan) SME Bank yang merupakan alumni UUM. Dia turut mengongsikan perjalanan profesional yang menginspirasi, dari pengalaman sebagai mahasiswa UUM hingga memegang jawatan penting dalam pembangunan organisasi di salah satu institusi kewangan terkemuka Malaysia.

Sesi komprehensif ini merangkumi strategi pembangunan kerjaya dalam sektor korporat, kepentingan kemahiran interpersonal dalam pengurusan sumber manusia, serta bagaimana alumni boleh memanfaatkan rangkaian UUM untuk membina kerjaya yang bermakna. Encik Ahmad Murad turut berkongsi tentang evolusi peranan pengurusan sumber manusia dalam era transformasi digital dan kepentingan pembangunan berterusan dalam mencapai kecemerlangan profesional.

Encik Ahmad Murad turut berkongsi satu kata- kata yang telah menjadi inspirasi beliau seorang insan yang berjaya kini: “The best time to plant a tree was 20 years ago. The second best time is now.”. Beliau menekankan bahawa kejayaan dimulai dengan tindakan hari ini, dan setiap langkah yang diambil sekarang akan membentuk masa depan yang gemilang.

“Saya percaya, mahasiswa hari ini bukan lagi sekadar pewaris masa depan mereka adalah pencorak masa depan. Program seperti ini bukan diadakan untuk berseronok atau mengisi masa, tetapi untuk membuka mata dan fikiran terhadap realiti dunia sebenar. Saya berharap setiap peserta mampu mencerna hikmah daripada perkongsian ini dan menjadikannya sebagai titik mula untuk bertindak, bukan hanya bermimpi. Kita tidak boleh sekadar mengagumi kejayaan orang lain; kita mesti mencipta kejayaan kita sendiri. Jika kita benar-benar mahu melihat perubahan, maka kitalah yang perlu menjadi agen kepada perubahan itu. Inilah masa untuk membuktikan bahawa mahasiswa UUM mampu berdiri di pentas global dengan integriti, kompetensi, dan semangat juang yang tinggi.” kata Pengarah Program, Amirulhafez Abdullah.

Program ini turut mencerminkan aspirasi UUM dalam melahirkan graduan holistik, berdaya kepimpinan dan berjiwa masyarakat yang mampu menerajui pembangunan organisasi dengan visi yang jelas dan komitmen yang kukuh terhadap kecemerlangan.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button