SME berbakti: Sentuhan kasih bersama anak yatim DAYA 2025 cetus mahasiswa prihatin & berjiwa masyarakat
Berita dan gambar Abdul Zulfaqar Abu Zaharin
Alor Setar, 28 Jun 2025: Seramai 40 mahasiswa Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menyertai program “SME Berbakti: Sentuhan Kasih Bersama Anak Yatim” di Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim DAYA, Alor Setar, Kedah.
Program anjuran Biro Kerohanian dan Sahsiah bersama Biro Integrasi Komuniti Antarabangsa INASIS SME Bank ini bertujuan menyemai nilai kasih sayang, empati dan tanggungjawab sosial dalam kalangan mahasiswa menerusi pendekatan turun padang bersama komuniti.
Antara aktiviti utama termasuk sesi ice-breaking, gotong-royong, sukaneka, aktiviti dalaman, sesi motivasi serta penyampaian sumbangan dan hadiah kepada anak-anak yatim. Program ini memberi ruang kepada mahasiswa untuk memahami realiti kehidupan golongan kurang bernasib baik, di samping menyemai rasa syukur dan semangat kesukarelawanan.
Menurut Pengarah Program, Abdul Zulfaqar, inisiatif ini membuka peluang interaksi bermakna dan membentuk mahasiswa yang lebih penyayang dan bertanggungjawab. “Ia bukan sekadar program, tetapi satu perjalanan jiwa,” katanya.
Program ini menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) seperti SDG 3 (Kesihatan dan Kesejahteraan Baik), SDG 4 (Pendidikan Berkualiti) dan SDG 10 (Pengurangan Ketidaksamaan). Ia turut menyumbang kepada pencapaian indikator universiti seperti T3D1C21 (University Social Responsibility Event) dan T6D1C36 menerusi pelaksanaan aktiviti fizikal seperti sukaneka yang menyokong kesejahteraan dan kawalan tahap gula dalam darah.
Usaha ini selari dengan aspirasi UUM untuk melahirkan graduan yang seimbang dari segi intelek, sahsiah dan sosial, serta prihatin terhadap kesejahteraan masyarakat.